Friday, 23/08/2019

Starting From Now Stall Restaurant Owners (Utusan Malaysia-Mega, February 19, 2008)

Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi,” pepatah ini cukup tepat menggambarkan persamaan yang berlaku antara seorang anak dengan ibu atau bapanya.

 

Begitu juga yang terjadi dalam kehidupan Nazmizanfazilah Abdullah, pemilik Restoran Rumah Thai yang terletak di Melati Utama, Setapak, Kuala Lumpur.

 

Pada awalnya dia tidak menduga, malah tidak pernah bercita-cita untuk mengikuti jejak langkah ayahnya yang memiliki sebuah gerai makanan ala-Thai

 

“Sebagai anak sulung, saya menyaksikan kesusahan bapa menanggung kami sekeluarga dengan hanya berniaga di gerai makanan.

 

“Keperitan yang dilaluinya menjadikan saya sendiri tidak berminat langsung untuk membuka perniagaan berasaskan makanan,” ujarnya yang lebih selesa dengan panggilan Nazmizan.

 

Justeru, selepas berjaya memperoleh ijazah perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, pada tahun 2000, Nazmizan memilih untuk makan gaji sebagai juruaudit di sebuah firma akauntan.

 

Namun, ketentuan Allah tiada siapa dapat menduga. Selama tiga tahun bertugas mengaudit syarikat yang menjalankan perniagaan berasaskan makanan, minat beliau datang secara mendadak.

 

“Waktu itu, saya melihat bidang perniagaan makanan ini mempunyai prospek yang baik jika dibuat dengan betul. Di samping itu, niat utama saya untuk membantu bapa yang juga menjalankan perniagaan membekalkan bahan mentah dan kering,” jelas ibu kepada dua cahaya mata, Daniel Hakim, 8 dan Daniel Hafidz, 5.

Bagi Nazmizan, 33, selain ingin memiliki perniagaan sendiri, paling penting dapat menjana satu jaringan perniagaan untuk bapanya yang menjalankan perniagaan pembekalan.

 

Katanya, Restoran Rumah Thai diwujudkan pada usianya mencecah 29 tahun dan kini sudah hampir lima tahun beroperasi. 

“Sememangnya Restoran Rumah Thai ini dizahirkan menerusi inspirasi daripada gerai bapa saya dan istimewanya, ia menggunakan resipi tomyam yang direka oleh bapa saya sendiri,” katanya.

 

Pepatah Melayu berbunyi, “Jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai,” begitulah adat berniaga, jika tidak berani mengambil risiko pasti kecundang dengan rintangan yang mendatang. 

Nazmizan mengakui cabaran demi cabaran yang dihadapi menjadikan beliau semakin matang dan dekat dengan Allah.

 

“Bagi peniaga seperti saya semangat perlu kuat, mesti fokus dan sentiasa berfikiran kritis demi menaikkan lagi perniagaan yang dibina,” jelas wanita kelahiran Kelantan ini.

Restoran Rumah Thai menawarkan pilihan masakan Thailand yang enak dan pelbagai. Antara menu mesti cuba di restoran tersebut termasuk ayam pandan panggang, kerapu tiga rasa, tomyam Songkhla dan udang mentega.

 

“Kami juga menawarkan pakej hidangan untuk keluarga dan kumpulan. Harga yang ditawarkan bagi setiap menu amat berpatutan,” katanya.

Kini restoran yang dibuka dari pukul 12 tengah hari hingga 12 malam itu, telah mengorak langkah dengan menawarkan perkhidmatan katering di bawah nama Seri Saji Catering yang menyediakan aneka masakan Melayu istimewa untuk majlis perkahwinan, seminar, rumah terbuka dan apa jua majlis.

 

Ciri-ciri peniaga dan usahawan perlulah berfikiran kritis dan inovatif, justeru, Nazmizan turut menjual pati tomyam resipi turun-menurun bapanya, kuah rojak buatan sendiri yang akan dikomersialkan dengan meluas menerusi bantuan sokongan daripada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).