Khamis, 18/07/2019

Jatimas Perkenal Sistem Francais (Harian Metro, 4 Mac 2008)

Jatimas Asia Sdn. Bhd., pengedar perabot jati berjenama Jatimas akan memperkukuh kedudukannya di Negara ini termasuk meluaskan rangkaian pengedarannya menerusi sistem perniagaan francais yang akan beroperasi seperti mulai Mei depan.

Buat masa ini, pihaknya sudah berada pada peringkat akhir perlaksanaan sistem itu sedang menunggu kelulusan daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) untuk beroperasi.

Pengurus Pembangunan Perniagaannya, Haslina Amin, berkata sistem francais yang diperkenalkan itu sebahagian daripada usaha syarikat untuk memperluas rangkaian pengedaran sedia ada ke seluruh Negara.

“Malah, kami sudah membuka penyertaan kepada mereka yang berminat untuk menjadi usahawan perniagaan perabot jati.

“Syarikat juga akan membantu usahawan berkenaan mendapatkan pembiayaan daripada bank dan koperasi terpilih selain member khidmat latihan berhubung pengurusan perniagaan dan pengetahuan mengenai kualiti perabot yang dipasarkan.” Katanya ketika ditemui di Selayang, baru-baru ini.

Katanya, setiap cawangan di bawah sistem perniagaan francais sekurang-sekurangnya perlu mempunyai keluasan tapak pameran antara 111 hingga 279 meter persegi.

Haslina berkata, usahawan turut diberi peluang memilih lokasi cawangan yang sesuai dan pihaknya pula akan menentukan sama ada lokasi itu sesuai atau tidak.

“Kami komited memperkembangkan perniagaan ini selain member keutamaan kepada pengedar yang dilantik kemudian barulah membukanya kepada usahawan baru yang berminat menceburi perniagaan ini,” katanya.

Buat masa ini, Jatimas sudah membuka tiga cawangan utamanya di Selayang , Wangsa Maju dan Damansara, Selangor.

“Kami akan membuka tiga lagi cawangan baru tahun ini di Cheraas, Wangsa Maju dan Bangi,” katanya.

Jatimas kini bukan sekadar mengimport perabot jati, malah mempunyai kilang di Jepara, Jawa Tengah, Indonesia yang disokong 60 kakitangan mahir.

Katanya, selain member focus terhadap produk hiasan berasakan kayu jati, syarikat itu turut menerima tempahan daripada pelanggan yang inginkan perabot daripada kayu balam, cengal, merbau dan mahogany.

Malah, syarikat turut menyediakan kemudahan bayaran ansuran bagi produk perabot jatinya.

Antara produk dipasarkan Jatimas ialah perabot bagi ruang tamu, meja kopi, bilik tidur dan aksesori rumah moden dan kontemporari.

Jatimas dijangka memperuntukkan kira-kira RM1 juta tahun ini bagi aktivit promosi dan pengiklanan.

Terbaru, Jatimas akan menyertai Pameran Perabot Antarabangsa Malaysia 2008 (MIFF 2008) bermula pada hari ini hingga 8 Mac depan.