Khamis, 25/04/2019

OSA Technology: Dubai Gerbang Ke Asia Barat (Utusan Malaysia-Ekonomi, 4 Februari 2008)

osa_utusan040108.jpg

OSA Technology Sdn. Bhd., syarikat Malaysia pertama yang memperkenalkan sistem instrumen dan pembedahan ortopedik, berminat menjadikan Dubai sebagai pintu masuk ke pasaran Asia Barat.

Ketua Pagawai Eksekutifnya, Dr. Hyzan Mohd. Yusof berkata, syarikat itu kini dalam peringkat perbincangan dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) bagi merealisasikan objektif itu.

"Kami memilih Dubai kerana ia boleh menjadi pintu masuk ke banyak negara di Asia Barat," katanya.

Pada acara sampingan Pameran Kesihatan Arab, acara utama industri penjagaan kesihatan, yang baru berakhir, yang disertai kira-kira 65 negara, termasuk Malaysia.

OSA Technology memulakan operasinya di Pusat Teknologi Pintar II di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi, Selangor pada Jun 2007, dan kini menjalani proses pensijilan ISO 13485:2003 dan Pemasaran CE bagi produk-produknya.

"Kami akan mencapainya pada Mac," kata Dr. Hyzan yang menetapkan sasaran untuk menguasai pasaran di Malaysia dan Asia Tenggara, selain Asia Barat.

Dr. Hyzan yang juga perunding pembedahan ortopedik & trauma di Pusat Perubatan Sunway di Petaling Jaya berkata, OSA Technology kini juga dalam perbincangan dengan sebuah syarikat multinasional, dengan matlamat untuk memuktamadkan perjanjian usaha sama yang boleh meningkatkan pertumbuhan OSA Technology.

"Ini kerana peranti perubatan mengambil masa yang panjang untuk dihasilkan atau dipasarkan, Jika melalui proses biasa, ia akan mengambil masa yang panjang, oleh itu proses itu perlu dipendekkan," kata Dr. Hyzan, yang juga aktif dalam kerja-kerja kemanusiaan di negara-negara di Asia Barat seperti Lebanon dan Syria sejak beberapa tahun lepas.

Beliau berkata, OSA Technology ditubuhkan selepas menerima RM2.89 juta geran penyelidikan dan pembangunan daripada Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) dan tambahan RM1.8 juta pinjaman mudah daripada Perbadanan Usahawan Nasional Bhd.

"MTDC meneliti pelan pemasaran dan visi kami," katanya yang berterima kasih terhadap sokongan kerajaan. "Dasar (untuk membangunkan usahawan) sudah ada, namun mekanismenya tidak terlalu mesra usahawan seperti kami," katanya.