Khamis, 25/04/2019

PKS Dapat Pinjaman RM60b (Berita Harian-Nasional, 29 Januari 2008)

Kerajaan menyediakan pinjaman bernilai lebih RM60 bilion bagi pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) antara Januari hingga November tahun lalu. Menteri Kewangan II, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata jumlah itu melebihi keseluruhan pinjaman sepanjang 2006 yang bernilai RM48 bilion, sekali gus mengatasi sasaran pada 2007 sebanyak RM50 bilion. Daripada jumlah itu, sebanyak RM52 bilion disediakan institusi perbankan, manakala RM8 bilion oleh institusi kewangan pembangunan iaitu Bank Pembangunan, Bank SME, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Bank Pertanian. Katanya, jumlah pinjaman institusi perbankan kepada PKS meliputi 41 peratus daripada keseluruhan pinjaman perniagaan dalam institusi kewangan. "Pinjaman itu digunakan bagi memajukan perniagaan, khususnya modal kerja dan perolehan aset dengan memberi manfaat kepada kira-kira 110,000 PKS di seluruh negara," katanya pada majlis makan malam Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), di sini, malam kelmarin. Hadir sama, Presiden DPMM, Syed Ali Mohammed Al-Attas dan Presiden DPMM Pulau Pinang, Rizal Fariz Muhideen Kadir. Nor Mohamed berkata, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) pula membantu sebahagian besar usahawan mikro terutama pengusaha individu yang sukar mendapat pembiayaan daripada sistem perbankan. Beliau berkata, hanya 15 peratus dari 400,000 usahawan mikro mendapat pembiayaan, manakala selebihnya bergantung kepada sumber pembiayaan persendirian, sekali gus menyukarkan mereka untuk mengembangkan perniagaan. Katanya, AIM juga mengeluarkan pinjaman hampir RM2.3 bilion bagi membantu seramai 160,000 usahawan kecil, terutama di luar bandar. "Satu dana bernilai RM10 juta disediakan oleh AIM bagi memberi pinjaman kepada peniaga kecil semua kaum yang berpendapatan kurang RM2,000 sebulan tanpa cagaran dan penjamin," katanya. BSN juga menyediakan pinjaman Skim Kewangan Mikro yang mengenakan syarat pinjaman yang lebih fleksibel, terutama dari segi keperluan cagaran, tempoh pinjaman dan prosedur pinjaman. Beberapa Pusat Mikro Kewangan juga ditubuhkan bagi memudahkan usahawan mendapat pinjaman. Nor Mohamed berkata, skim Program Usahawan Bumiputera dalam Bidang Peruncitan (Prosper) yang dilaksanakan sejak 2000, berjaya mewujudkan 1,232 perniagaan runcit dengan bantuan bernilai RM192 juta.