Khamis, 18/07/2019

Mazlan Bermula Dari Usahawan Kampung (Utusan Malaysia-Ekonomi, 28 Januari 2008)

Ada pihak menggelarnya ‘Raja Minyak Sawit Malaysia’. Namun, bagi Pengarah Urusan MM Vitaoils Sdn. Bhd., Mazlan Muhammad, anak kelahiran Bachok, Kelantan ini, lebih selesa dipanggil usahawan kampung sahaja.

Mazlan, 48, tahun berkata, pengalaman berniaga di pasar di Ketereh pada zaman kanak-kanak tetap tersimpan rapi dalam memori diari hidupnya.

“Ia merupakan satu permulaan melalui pengalaman berharga bagi mencapai kejayaan hari ini,” katanya merendah diri.

MM Vitaoils yang diterajui Mazlan kini adalah syarikat Bumiputera yang berjaya dalam industri hiliran minyak sawit sebagai pengeluar dan pengedar produk berasaskan minyak sawit dan lelemak bagi pasaran global.

Kejayaan besar beliau ialah membangunkan kilang minyak sawit di Seksyen 23, Shah Alam dan dalam tempoh empat bulan, MM Vitaoils berjaya melakukan eksport pertama ke Afrika.

Pada tahun yang sama, perolehan syarikatnya mencecah RM28.1 juta, satu jumlah yang besar bagi sebuah syarikat yang hanya memiliki 83 orang pekerja.

Dengan modal berbayar hanya sebanyak RM100,000 ketika mula beroperasi, MM Vitaoils kini memiliki modal berbayar sebanyak RM6.5 juta.

Semua kejayaan itu dicapai oleh syarikat itu dalam tempoh lima tahun beroperasi dan membolehkan Mazlan menerima Anugerah Keusahawan Unggul pada Anugerah Keusahawanan Asia Pasifik 2007 anjuran Sekretariat Malaysia APEA 2007, tahun lalu.

Bapa kepada empat orang cahaya mata ini berkata, beliau nekad meninggalkan kerjaya sebagai Ketua Bahagian Pengurusan (Makanan dan Minuman) di Malaysia Airports Niaga pada 1999.

“Ketika itu, saya tidak mempunyai banyak maklumat tentang minyak sawit. Cuma, apa yang saya tahu, produk ini lebih tahan lama penggunaannya,” jelas anak kedua daripada enam beradik ini.

Memiliki diploma pemasaran, Mazlan memulakan karier sulungnya di New Straits Times sebagai Pegawai Pengedaran.

Mengenai hobinya, Mazlan berkata, beliau minat membaca.

“Sekurang-kurangnya, saya akan menghabiskan membaca satu buku sebulan termasuk buku mengenai agama dan tokoh perniagaan asing.

“Selain itu, seminggu sekali saya main golf. Waktu pagi saya masih sempat berjoging atau berenang,” katanya bercerita tentang aktiviti lapangnya itu.