Khamis, 18/07/2019

Program Playgroup Rangsang Minda Kanak-Kanak (Utusan Malaysia-Mega, 18 Januari 2008)

Kanak-kanak berusia dua hingga empat tahun memerlukan aktiviti yang boleh merangsang minda di samping belajar bersosial.

Pada usia ini, mereka tidak boleh dibebankan dengan pembelajaran yang berat tetapi aktiviti menghiburkan dan banyak melakukan projek kraf supaya mereka lebih kreatif.

Sehubungan itu, melihatkan keperluan bagi memastikan mereka mendapat persekitaran pembelajaran yang menghiburkan dan tidak sebaliknya, maka UmmikuSayang Sdn. Bhd. dengan kerjasama Playworks Consultancy yang mempunyai pengalaman dalam pendidikan berkonsepkan Islam telah mewujudkan sebuah program yang boleh membantu golongan tersebut.

Pada Ogos 2006, modul A.L.I.M Kids Playgroup Programme direka dan dilaksanakan pada Januari tahun lalu di premis Ummiku Sayang, Taipan USJ, UEP Subang Jaya bagi memenuhi keperluan kanak-kanak seusia tersebut.

Pengusaha UmmikuSayang Sdn. Bhd., Hani Arziana Abdullah berkata, A.L.I.M adalah singkatan kepada Active, Lively, Intelligent, Muslim atau dalam bahasa Arab iaitu ilmu atau pengetahuan.

“Matlamat kami supaya kanak-kanak Muslim mempunyai pengetahuan di dunia dan akhirat sekali gus boleh membantu membangunkan ummah.

“Bahkan, program ini adalah yang pertama di Malaysia yang menyediakan program berasaskan belajar sambil bermain untuk kanak-kanak berusia dua hingga empat tahun. Ia juga sesuai digunakan di taman asuhan kanak-kanak yang tidak mempunyai aktiviti sampingan atau individu di rumah,'' katanya ketika ditemui di UEP Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Menurut Hani, di samping menyediakan pembelajaran yang menghiburkan, program ini membantu kanak-kanak dari segi fizikal, intelektual, bersosial dan mengawal emosi mengikut cara Islam.

“Apa yang menarik, ibu juga boleh mengikuti program ini, bermaksud, boleh bersama-sama anak-anak semasa program tersebut. Inilah masanya untuk menghabiskan masa bersama anak-anak dan mengetahui minat serta kecenderungan mereka,'' katanya.

Tambah beliau, medium pembelajarannya di dalam bahasa Inggeris.

“Mereka akan mempelajari enam topik iaitu dari mengenal diri sendiri, deria, bentuk, keunikan dunia, warna dan haiwan. Setiap topik akan dipelajari selama lapan minggu. Selain itu, turut diterapkan konsep Khalifah dalam pembelajaran itu seperti mengajar akhlak mengikut ajaran Islam, membentuk menjadi manusia yang baik, ingin berjaya di dunia dan akhirat dan cintakan Allah.

Pendedahan

“Mereka juga diberi pendedahan kepada huruf Roman dan Arab,” katanya.

Ditanya mengenai bayaran untuk menyertai program ini, Hani berkata, bayaran untuk satu topik iaitu lapan minggu ialah RM150.

“Kanak-kanak yang ingin mencuba dahulu, hanya dikenakan bayaran RM20 sahaja.

“Di UEP Subang Jaya, pusat program ini dibuka setiap hari Sabtu iaitu dari pukul 10.30 pagi hingga 11.30 pagi dan 11.45 pagi hingga 12.45 tengah hari. Kami ada dua kumpulan yang mana setiap satu hanya mengandungi 12 orang kanak-kanak.

“Apabila selesai lapan topik, maka kanak-kanak ini telah tamat tahap satu dan akan masuk ke tahap dua yang akan dimulakan pada bulan depan,'' jelasnya.

Sementara itu, rakan kongsinya, Dayang Lily Abang Muas mencelah, program playgroup ini adalah gabungan konsep belajar dengan projek kraf.

“Kami menumpukan kaedah imaginasi dan energetik dalam setiap tema seperti menerusi lagu, cerita dan pergerakan yang kreatif,” ujarnya.

Setakat ini, katanya, program ini turut digunapakai di beberapa taska di Putrajaya, Mutiara Damansara, Bangi, Kota Bharu dan Puncak Jalil dan banyak lagi permintaan yang sedang menunggu.

“Maklum balas yang diterima daripada ibu bapa, anak-anak mereka begitu gembira dan menunjukkan perkembangan yang positif dari segi interaksi dengan kanak-kanak lain dan pengetahuan terutama amalan ajaran Islam seharian,” katanya.

Ujar Dayang, program ini bukan sahaja khas untuk pengusaha taska tetapi sesuai bagi suri rumah atau wanita yang ingin menceburi bidang perniagaan dari rumah.

“Modalnya hanya RM2,500. Mereka akan diberi latihan selama sehari bagaimana menggunakan pelan pembelajaran.

“Di samping itu, mereka turut dibekalkan dengan pelan pembelajaran mingguan, buku perbincangan dan alat bantuan mengajar seperti set kad, pek lagu, kit pengendalian, kit surah dan doa serta kad imbasan.

“Bagi ibu-ibu yang ingin menyertainya hanya perlu menggunakan rumah sebagai premis kerana tidak memerlukan ruang yang luas dan bilangan pelajarnya tidak perlu ramai. Jika rumah sempit, boleh menyewa taska atau tadika di hujung minggu dan memulakan program playgroup ini,” jelasnya.

Bagi ibu bapa, pengusaha taska dan individu yang sedang mencari peluang perniagaan atau ingin menghantar anak ke program ini, boleh mendapatkan maklumat di Ummiku Sayang Sdn. Bhd., No. 16, USJ 3B/5, UEP Subang Jaya, Selangor atau hubungi 03-80237372.