Jumaat, 26/04/2019

Dakwa Nama PUNB Disalah Guna (Kosmo, 10 September 2008)

Kuala Lumpur - Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB) meminta orang ramai berhati-hati kerana ada pihak didakwa menggunakan nama PUNB dalam menyediakan pembiayaan kewangan peribadi untuk perniagaan.
 

Ketua Jabatan Komunikasi Korporatnya, Nashita Aziz dalam satu kenyataan semalam, pihaknya tidak menyediakan sebarang kemudahan untuk pembiayaan peribadi.
 
"Oleh itu, PUNB menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan tidak tertipu dengan mana-mana pihak yang menggunakan nama yang serupa dengan PUNB dalam menyediakan perkhidmatan pembiayaan peribadi atau perniagaan.
 
"Untuk pengetahuan umum, PUNB mengurus sendiri semua urusan pembiayaan kewangannya tanpa menggunakan ejen, perkhidmatan perantara atau orang tengah," jelas Nashita lagi. 
 
PUNB adalah badan keusahawanan yang menyediakan pembiayaan kewangan untuk usahawan bumiputera menceburi diri dalam bidang perniagaan.
 
Skim-skim pembiayaan PUNB terdiri daripada Skim Prosper Runcit, Pemborong Prosper, Prosper Siswazah dan Skim Perusahaan Kecil dan Sederhana.
 
"Orang ramai boleh terus berhubung di talian 03-27851515 atau talian hotline 03 27851477 atau layari laman web www.punb.com.my untuk mendapatkan maklumat tentang skim-skim pembiayaan kami," kata Nashita.