Jumaat, 19/07/2019

Dana Awal RM25j Sedia Premis Usahawan PROSPER (Berita Harian-Ekonomi, 18 Januari 2008)

dana-bh180108.jpg

 

PUNB manfaat peruntukan beli bangunan bagi disewa peruncit

Kerajaan memperuntukkan dana awal RM25 juta kepada Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) untuk membeli premis perniagaan bagi disewakan kepada usahawan runcit di bawah skim Projek Usahawan Bumiputera Dalam Bidang Peruncitan (Prosper).

Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, inisiatif itu bagi memastikan usahawan terbabit tidak menghadapi masalah kerap berpindah kerana kadar sewa premis yang sering dinaikkan pemilik kedai.

"Masalah beroperasi di premis sewa, peruncit kemungkinan terpaksa berpindah dari semasa ke semasa kerana kadar sewa yang meningkat.

"Menerusi peruntukan ini, PUNB akan membeli premis yang sesuai dan akan disewakan kepada usahawan Prosper pada kadar berpatutan," katanya.

Katanya, ketika ini hampir 90 peratus daripada usahawan peruncitan di bawah Prosper beroperasi di premis yang disewa.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan skim pembiayaan bagi pembelian motosikal yang disediakan Azmi & Noor Niaga Holdings Sdn Bhd, 'HP-i Motor' di Kapar, Klang semalam.

Pada majlis itu, beliau juga melancarkan jenama kedai Azmi & Noor Niaga, 'PutraBikes'.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi PUNB, Tan Sri Mohd Abu Bakar Mohd Nor, Ketua Eksekutif PUNB, Datuk Mohd Nasir Ahmad dan Pengarah Urusan Azmi & Noor Niaga, Azmi Ismail.

Azmi & Noor Niaga Holdings Sdn Bhd, wakil pengedar motosikal pelbagai jenama adalah antara syarikat yang berjaya di bawah skim Prosper.

Nor Mohamed berkata, sejak Prosper dilancarkan pada Disember, 2000, lebih 1,500 usahawan telah mendapat manfaat daripada skim berkenaan dengan bantuan kewangan kira-kira RM244 juta.

Skim itu, katanya mewujudkan 1,038 perniagaan dan menawarkan peluang pekerjaan kepada lebih 6,000 pekerja serta menjana nilai jualan lebih RM750 juta setahun.

Beliau berkata, tahun ini PUNB dijangkakan menyalurkan pembiayaan RM164 juta untuk mewujudkan lebih 500 usahawan baru menerusi skim yang ditawarkannya termasuk Prosper runcit, pemborongan dan siswazah.

Selain inisiatif yang ditawarkan menerusi PUNB, beliau berkata, usaha mewujudkan usahawan baru Bumiputera juga giat dilaksanakan kerajaan menerusi skim pembiayaan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), yang mana tumpuan diberikan kepada semua kaum di kawasan luar bandar.

Katanya, AIM yang disifatkan sebagai mekanisma paling berkesan bagi membasmi kemiskinan di luar bandar, setakat ini telah diperuntukkan sejumlah RM2.3 bilion.