Khamis, 25/04/2019

Jatimas Asia Labur RM1j (Harian Metro-Bisnes, 15 Januari 2008)

Jatimas Asia Sdn Bhd, pengedar perabot jati terbesar di negara ini, memperuntukkan RM1 juta untuk menambah tiga lagi cawangannya di Lembah Klang.

Pengarah Urusannya, Zawati Ibrahim, berkata syarikat yang beroperasi sejak lapan tahun lalu itu sudah melabur lebih RM1.6 juta untuk membuka tiga cawangan di Selayang, Wangsa Maju dan Damansara.

“Tiga lagi cawangan baru kami yang bakal dibuka terletak di lokasi strategik di Cheras, Puchong dan Bangi. Ketiga-tiga lokasi berkenaan dipilih kerana ada permintaan tinggi daripada pelanggan untuk kami membuka cawangan di sana,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Zawati berkata, Jatimas kini bukan sekadar mengimport perabot jati, malah mempunyai kilang di Jepara, Jawa Tengah, Indonesia yang disokong 60 kakitangan mahir manakala di negara ini, operasinya terus berkembang dengan 108 pengedar dilantik.

Sebelum ini, katanya, syarikat itu turut diiktiraf sebagai Pengedar Perabot Jati Terbesar di Malaysia oleh Malaysia Book Of Records (MBOR) dan 100 peratus spesies jati tulen daripada Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).

 

Sehingga Disember tahun lalu, syarikat itu mencatatkan prestasi jualan memberangsangkan apabila mencatatkan jualan bernilai RM2.5 juta bagi perabot berasaskan kayu.

Selain memberi fokus terhadap produk hiasan berasaskan kayu jati, syarikat itu turut menerima tempahan daripada pelanggan yang inginkan perabot daripada kayu balam, cengal, merbau dan mahogani.

Bagi memperkukuh rangkaian perniagaannya, syarikat itu kini dalam proses mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi untuk menawarkan skim francais Jatimas kepada usahawan Bumiputera berminat.

Menurutnya, skim francais yang bakal dilancarkan Mei depan bukan saja membolehkan usahawan menggunakan nama Jatimas, tetapi turut diberikan latihan berhubung pengurusan perniagaan dan kualiti perabot dihasilkan.

Zawati berkata menerusi skim itu, pelabur tidak perlu memikirkan promosi barangan kerana Jatimas menyediakan peruntukan besar bagi pengiklanannya setiap setahun.

“Kami komited memperkembangkan perniagaan ini dengan memperkenalkan skim francais. Keutamaan kami ialah kepada pengedar yang dilantik kemudian barulah usahawan baru yang berminat menceburi perniagaan ini.

“Dengan kepakaran serta promosi berterusan yang kami lakukan di media, ia mampu memberikan pulangan lebih baik kepada mereka yang menyertai skim ini. Kami juga akan memberikan tunjuk ajar berhubung pengurusan perniagaan perabot,” katanya.