Khamis, 18/07/2019

Putra Bikes Sedia RM5j (Harian Merto-Bisnes, 8 Januari 2008)

PutraBikes anak syarikat Azmi & Noor Niaga Holdings Sdn Bhd, yang terbabit dalam industri penjualan motosikal baru dan terpakai sejak 1996, memperuntukkan RM5 juta untuk menampung skim pembiayaan syariah yang akan dilancarkan pada 17 Januari ini.

Pengarah Urusannya, Azmi Ismail, berkata majlis pelancaran Al-Ijarah Thumma Al-Bai’ (AITAB) dan cawangan terbaru PutraBikes itu akan disempurnakan Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Menurutnya, idea memperkenalkan skim AITAB itu hasil pemantauan terhadap kehendak pengguna Islam masa kini yang inginkan skim pembiayaan motosikal berlandaskan sistem syariah serta bebas dari caj terlindung.

“Permintaan tinggi terhadap motosikal sebagai kenderaan alternatif dan pembiayaan syariah mendorong kami memperkenalkan skim ini.

“Ia skim pembiayaan syariah pertama diperkenalkan syarikat menjual motosikal tempatan untuk kemudahan pelanggan,” katanya ketika ditemui di Rantau Panjang, Klang, Selangor, semalam.

Azmi berkata, menerusi sistem pembiayaan berkenaan, pelanggan yang ingin membeli motosikal di semua cawangan PutraBikes hanya perlu menyediakan dokumen dikehendaki dan tidak perlu menunggu lama bagi proses kelulusan.

Menurutnya, untuk memudahkan urusan kelulusan pembiayaan, syarikatnya turut menggunakan sistem online dengan semua cawangannya bagi mengesan pelanggan yang sudah disenarai hitam.

“Pelanggan hanya perlu memilih motosikal, sediakan dokumen dan kami secara online memeriksa rekod kredit mereka.

“Jika tiada sebarangan masalah seperti disenarai hitam, proses hanya mengambil masa sehari dan mereka sudah boleh membawa pulang motosikal,” jelasnya .

Jualan motosikal pelbagai model sebanyak 1,600 unit pada 2007 turut memperkukuhkan kedudukan syarikat Bumiputera itu dalam pasaran apabila berjaya membuka tiga cawangan PutraBikes di Rantau Panjang, Klang dan Taiping, Perak.

Syarikat berkenaan turut bercadang membuka tiga lagi cawangannya di Datuk Keramat, Kuala Lumpur; Parit Buntar, Perak dan Sungai Udang, Klang sebelum penghujung 2008.

Semua cawangan PutraBikes dilengkapi bilik pameran, pusat jualan dan servis bagi memudahkan pengguna melihat pelbagai model motosikal terbaru dari jenama Modenas, Yamaha, Honda dan Suzuki.

Untuk kemudahan pelanggan PutraBikes turut menyediakan laman web khas menerusi www.putrabikes.comsebagai rujukan berhubung produk dan perkhidmatan ditawarkan.