Khamis, 25/04/2019

PUNB Peruntuk Dana RM164j Biaya Usahawan (Berita Harian-Ekonomi, 26 Disember 2007)

Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) memperuntukkan dana berjumlah RM164 juta tahun depan untuk disalurkan kepada usahawan menerusi pelbagai skim pembiayaan yang ditawarkannya.

Ketua Eksekutif PUNB, Datuk Mohd Nasir Ahmad, berkata RM64 juta daripadanya akan diperuntukkan bagi pembiayaan kepada Projek Usahawan Bumiputera Dalam Bidang Peruncitan (Prosper) Pemborongan, RM61 juta usahawan skim Prosper Runcit serta RM30 juta usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Sejumlah RM7 juta lagi diperuntukkan bagi pinjaman kepada lepasan ijazah menerusi skim Prosper Siswazah bagi menggalakkan lebih ramai golongan muda menceburi bidang perniagaan sebaik menamatkan pengajian tinggi.

"Jika tahun ini kami mengeluarkan sejumlah RM120 juta nilai pinjaman, tahun depan peruntukan ditambah bagi membantu melahirkan lebih ramai usahawan baru, selain memberi lebih banyak peluang kepada peniaga untuk membesarkan perniagaan masing-masing.

"Tahun ini, PUNB membiayai lebih 500 usahawan sama ada untuk memulakan perniagaan atau sebagai modal pembesaran operasi dalam pelbagai sektor menjadikan jumlah keseluruhan," katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mohd Nasir berkata, jumlah pembiayaan tahun ini menepati sasaran awal, malah ada antaranya yang melebihi jangkaan.

Ia termasuk pembiayaan kepada sektor pemborongan yang disasarkan 18 permohonan, tetapi hingga 30 November, PUNB meluluskan pembiayaan kepada 23 permohonan.

Beliau menyifatkan perkembangan itu sebagai menggalakkan kerana lebih ramai usahawan yang berminat dan berani menyertai sektor perniagaan lebih besar serta membabitkan jumlah pembiayaan yang ketara.

Sehubungan itu, katanya, tahun depan PUNB yakin untuk meningkatkan sasaran pembiayaan kepada sektor usahawan Prosper Pemborongan kepada 30 permohonan dengan tumpuan kepada sektor runcit, seperti tekstil dan pakaian, kasut serta alat tulis.

Skim Prosper Pemborongan dimulakan pada Januari 2006, dengan menawarkan pembiayaan antara RM250,000 hingga RM7 juta dan hingga kini seramai 40 usahawan telah dilahirkan menerusi skim pembiayaan PUNB.

Secara keseluruhan, Mohd Nasir berkata sejak memulakan operasi pada 2000 hingga 30 November lalu, PUNB sudah menyalurkan pembiayaan kepada kira-kira 1,473 usahawan Prosper Runcit, Prosper Pemborongan 40 dan Prosper Siswazah 239 orang.

Selain itu, katanya, PUNB mengeluarkan pembiayaan kepada 119 usahawan PKS.

Tahun depan, beliau berkata, tumpuan lebih akan diberikan kepada permohonan bagi sektor perkhidmatan automotif, pakaian, operasi stesen minyak dan perkhidmatan profesional, seperti klinik gigi, mata dan khidmat rundingan.

"Sebelum ini, kami banyak membiayai usahawan yang terbabit dalam pengendalian restoran dan kedai makan serta kedai runcit atau pasar raya mini.

"Namun, pengalaman menunjukkan nisbah peniaga yang gulung tikar lebih tinggi dalam bidang ini. Justeru, PUNB akan lebih berhati-hati untuk membiayai peniaga dalam bidang berkenaan pada masa akan datang," katanya.

Mengenai bilangan usahawan yang gagal, Mohd Nasir berkata, ia pada kadar 15 peratus, namun beliau tidak melihat purata berkenaan sebagai membimbangkan