Khamis, 18/07/2019

Skim PROSPER PUNB bantu siswazah (Sinar Harian, 11 Disember 2007)

Bilangan usahawan siswazah atau graduan disifatkan masih kecil jika melihat peratusan golongan itu yang tamat kursus di peringkat universiti.

Antara punca yang menyebabkan kekurangan usahawan itu disebabkan oleh kehendak terhadap pekerjaan yang menepati kursus atau yang memberi pendapatan yang lebih stabil.

Selain itu, wujud persepsi bahawa sukar untuk graduan yang tiada pengalaman untuk menceburi bidang perniagaan.

Pendedahan dan penerimaan graduan terhadap perniagaan masih tidak meluas terutama golongan Bumiputera.

Menurut Pengurus Besar, Divisyen Pelaburan, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Dzulkifli Fadzilah, terdapat juga sebahagian kecil siswazah yang mempunyai inisiatif dengan mencari pengalaman dalam bidang perniagaan.

"Saya percaya, berdasarkan pengalaman dan minat, mereka memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dengan matlamat yang amat besar.

"Tidak dinafikan, ada usahawan yang berjaya disebabkan oleh latar belakang keluarga dalam bidang perniagaan", katanya ketika ditemui.

Beliau menambah, kumpulan ini tidak perlu berniaga daripada mula kerana kelebihan itu memudahkan untuk mengembangkan perniagaan sedia ada.

Bagaimanapun, bagi siswazah yang tiada pengalaman, mereka seharusnya memulakan perniagaan secara berperingkat melalui rancangan dan pengurusan yang bijak.

Berdasarkan statistik PUNB, kebanyakan usahawan mempunyai perniagaan baru kerana hanya gologan ini yang memohon bantuan untuk mendapatkan modal.

Di sini, PUNB berperanan membantu graduan untuk menjadi usahawan menerusi didikan mengenai asas, pendedahan dan pengalaman dalam bidang perniagaan.

Sementara itu Dzulkifli memberitahu, terdapat kes di mana graduan ditipu dan dianiaya apabila disogokkan dengan peluang pelaburan internet atau rantaian.

"Sebenarnya, ia bukan berkonsepkan keusahawanan kerana perniagaan itu merupakan aktiviti pengurusan yang memerlukan usaha dan pengorbanan.

"Jadi adalah mustahil sekiranya graduan ditawarkan untuk menjadi usahawan segera tanpa perlu bekerja keras," katanya.

Hari ini, semakin banyak agensi berdaftar dan berkelayakan seperti PUNB menyediakan platform kepada siswazah untuk berniaga.

Pendedahan awal melalui kursus keusahawanan pada peringkat sekolah dan universiti merupakan langkah terbaik untuk memperkenalkan kepada siswazah tentang perniagaan.

PUNB memahami mentaliti siswazah dengan menjangkakan bahawa mereka boleh menjadi usahawan tanpa sebarang pengalaman atau asas perniagaan.

Maklumat mengenai kursus atau program keusahawanan diumumkan dalam pelbagai medium seperti media bagi memberitahu siswazah mengenai rancangan dan persediaan dalam perniagaan.

"Persepsi ibu bapa bahawa anak-anak yang berpelajaran tinggi tidak sesuai menceburi bidang perniagaan harus diubah kerana perolehan pendapatan yang lebih rendah berbanding kerja makan gaji.

"Justeru itu, ibu bapa diberi kepercayaan dengan memaklumkan bahawa setiap permulaan itu memerlukan pengorbanan kerana peluang untuk menjadi usahawan yang mempunyai pendapatan yang lebih tinggi amat cerah," jelasnya.

PUNB mendapati modal merupakan antara punca kegagalan graduan sukar untuk menceburi bidang perniagaan.

Justeru, PUNB membuka peluang kepada siswazah Bumiputera untuk menjadi usahawan dan membentuk golongan ini sebagai usahawan ynag berintelek.

Skim PROSPER Siswazah menyediakan pakej keusahawanan khas yang mendorong, membimbing dan membangunkan siswazah untuk menceburi bidang keusahawanan khususnya dalam sektor peruncitan.

Pelbagai kemahiran dan pengetahuan diberikan kepada siswazah khususnya pendedahan supaya mereka dapat memulakan perniagaan runcit dan pengedaran melalui mekanisma pembangunan yang teratur dan sistematik.

"Bantuan kewangan yang diberikan bermula RM5,000 sehingga RM50,000 untuk perniagaan tunggal, perkongsian atau sendirian berhad.

"Siswazah hanya perlu mengeluarkan modal sebanyak RM500 untuk setiap projek dan tiga hingga lima tahun bergantung pada jenis perniagaan," katanya.

PUNB turut menyediakan latihan dan motivasi sejak awal sebelum Siswazah memulakan perniagaan serta merangkumi khidmat pra-operasi, pemantauan akaun, khidmat nasihat sepanjang tempoh pembiayaan dan bayaran.

Pembiayaan itu meliputi jumlah kos keseluruhan seperti modal, peralatan dan kakitangan dan keperluan perniagaan yang lain.

Khidmat bantuan rancangan perniagaan seperti penyediaan cadangan kertas kerja diberikan selain persediaaan siswazah untuk menjadi usahawan melalui latihan dan bimbingan.

"Kertas kerja itu bukan untuk mendapatkan kelulusan bantuan kewangan daripada PUNB, sebaliknya ia bertujuan untuk memberi pemahaman kepada siswazah untuk menjadi usahawan.

"Kemudiannya, ia bertindak sebagai asas kepada usahawan dalam merangka pelan perniagaan seperti pengurusan kewangan dan strategi pemasaran," katanya.

Selain itu, Sesi Kesesuaian Keusahawanan turut diadakan bagi menilai bakal usahawan itu melalui pendekatan secara saintifik.

Penilaian itu merangkumi proaktif dan pengambilan risiko yang berdasarkan jenis soalan yang diberikan kepada siswazah yang berupaya meneliti kekurangan atau kelemahan mereka.