Khamis, 18/07/2019

MM Vitaoils Labur RM300j (Utusan Malaysia-Ekonomi, 28 September 2007)

MM Vitaoils Sdn. Bhd. (MM Vitaoils), syarikat yang terlibat dalam industri hiliran minyak sawit akan melabur sebanyak RM300 juta bagi mengembangkan operasi syarikat menjelang akhir tahun ini.

 

Pengarah Urusannya, Mazlan Muhammad berkata, pelaburan itu melibatkan pembelian ekuiti beberapa kilang tempatan yang terbabit dalam aktiviti penapisan minyak sawit. 

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nama syarikat tersebut kerana perbincangan sedang berlangsung.

 

Menurutnya, pelaburan tersebut turut membabitkan pembelian ladang kelapa sawit di Indonesia seluas 40,000 hektar. 

“Jika tiada halangan, segala perundingan akan selesai sebelum akhir tahun ini.

 

“Syarikat sememangnya sudah bersedia dengan kepakaran yang ada dan meningkatnya nilai tambah di kalangan kakitangan,” kata Mazlan yang ditemui di pejabatnya di sini, baru-baru ini.

MM Vitaoils yang ditubuhkan pada 1999 adalah syarikat bumiputera yang bertindak sebagai pengeluar dan pengedar produk berasaskan minyak sawit dan lelemak.

 

Pencapaian utama Mazlan adalah kejayaannya membina kilang minyak sawit di Seksyen 23, Shah Alam dalam tempoh empat bulan dengan eksport pertama ke Afrika pada 23 Januari 2003 dengan perolehan syarikat mencecah RM28.1 juta.

 

Pada 2006, perolehan MM Vitaoils meningkat kepada RM56.9 juta dengan pasarannya menembusi 40 buah negara di seluruh dunia.

 

Mengulas lanjut, beliau berkata, peralihan syarikat ke sektor perladangan dan memiliki kilang penapisan merupakan satu pergerakan hiliran biasa dalam perniagaan.

 

“Kita adalah industri pengguna. Sekarang kita wajar pergi ke sumber asal untuk mendapat penawaran yang konsisten.

 

“Kita tidak pasti apa yang akan terjadi pada masa depan daripada segi bahan mentah akibat harga yang tidak menentu. Ini merupakan satu langkah untuk melindungi syarikat,” jelasnya.

 

Ketika ditanya tentang ura-ura syarikat akan disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia, Mazlan tidak menafikan perkara itu.

“Kami memang berhasrat untuk disenaraikan pada pertengahan tahun depan,” katanya.

 

Mengenai prestasi MM Vitaoils, beliau berkata, syarikat itu mengunjurkan perolehan sebanyak RM80 juta tahun ini dengan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM5 juta