Jumaat, 26/04/2019

Saiful Sahut Cabaran (Harian Metro-Variasi, 11 September 2007)

INDUSTRI automotif yang semakin berkembang di negara ini membuka peluang kepada generasi muda menimba pengalaman dalam pelbagai bidang ditawarkan.

Cabaran itu disahut Saiful Azhar Adnan, 33, yang membina perniagaannya sendiri dalam bidang automotif.

Pengalaman luas serta berkat kegigihannya dalam bidang itu berbaloi apabila bengkel Topbody Sevices di Lot 569, Jalan Selamat, Off Jalan Sungai Udang, Klang, Selangor semakin berkembang dan mendapat sambutan.

Saiful berkata, minat dalam bidang itu bermula sejak kecil lagi dan ia hasil pengalaman dengan bekerja di beberapa bengkel sebelum mengikuti kursus automotif.

"Saya meminati bidang berkaitan kereta sejak kecil lagi. Selepas tamat persekolahan, saya mengikuti kursus dalam bidang mekanikal sebelum menimba pengalaman di beberapa bengkel besar," katanya.

Bapa kepada tiga anak ini berkata, ilmu dalam bidang berkenaan turut diperolehnya ketika mengikuti kursus di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) pada 1997.

Menyedari potensi kerjaya berkenaan untuk berkembang, anak muda itu memberanikan diri membuka perniagaan sendiri dengan modal RM18,000.

Bengkelnya menawarkan perkhidmatan mengimpal, mengetuk, mengecat, servis, membaiki enjin dan menukar alat ganti kenderaan.

Kini, selepas empat tahun dia bangga kerana usahanya dalam bidang itu tidak sia-sia. Selain itu Saiful tidak dapat melupakan pengalaman manisnya menyertai lawatan selama empat hari ke Shanghai, China anjuran Perbadanan Nasional Berhad (PUNB) pada 2006.

Walaupun perniagaannya kini semakin berkembang Saiful tidak lupa untuk bersama-sama membantu kerajaan melatih generasi muda dalam bidang itu.

Baru-baru ini, bengkelnya menganjurkan satu kursus khas untuk melatih remaja sekitar Klang bagi mempelajari asas teknik mengetuk, mengimpal dan mengecat kenderaan di bengkelnya.

"Ilmu yang ada saya ingin kongsikan dengan mereka yang berminat," katanya. Selain tenaga kerja mahir, Saiful turut dibantu isterinya, Norsyida Jaafar, 29, sebagai pengurus bengkel.

Untuk perkhidmatan cat yang ditawarkan kepada pelanggan, bengkelnya turut memberi jaminan khas selama tiga tahun terhadap kualiti.

Dia menasihatkan generasi muda mengembangkan bakat mereka dengan merebut pelbagai peluang ditawarkan dalam bidang automotif.

Mereka yang berminat mendapatkan perkhidmatan dan berkongsi pengalaman dengannya boleh menghubungi talian 012-2111403 atau 03- 33736463.