Khamis, 25/04/2019

Ummiku Sayang Kedai Sehenti Ibu Muslim (Utusan Malaysia-Keluarga, 10 September 2007)

Sanggup berhenti kerja sebagai pembantu jurutera di sebuah syarikat multinasional semata-mata bagi menyediakan perkhidmatan kepada ibu bapa yang mencari bahan bacaan menghiburkan berkonsepkan Islam dalam bahasa Inggeris untuk kanak-kanak.

Kesedaran betapa pentingnya dan perlunya bahan bacaan itu tercetus apabila rakan-rakan dan mereka sendiri merasai betapa sukarnya mendapatkan bahan bacaan itu terutama yang diterbitkan di sini.

Justeru itu, Dayang Lily Abang Musa, 36, dan Hani Arziana Abdullah, 35, menyatakan hasrat untuk berhenti kerja kepada suami masing-masing bagi memulakan perniagaan pesanan bahan bacaan itu melalui laman web, www.UmmikuSayang.com. atau portal untuk ibu Muslim.

“Alhamdullilah, hasrat itu mendapat persetujuan. Tanpa berlengah lagi, kami mula mencari bahan-bahan bacaan itu di serata dunia terutamanya dari Amerika Syarikat, United Kingdom, India dan Malaysia sendiri untuk dimasukkan ke dalam laman web kami.

Keinginan

“Maka, pada tahun 2001, perniagaan Ummiku Sayang dimulakan dari rumah. Di dalam laman web ini, selain daripada buku-buku, kami turut muatkan ruangan forum secara talian dan pendaftaran keahlian yang sekarang berjumlah 3,000 orang.

“Kami turut mengadakan pelbagai aktiviti untuk ahli seperti seminar keibubapaan dan kaunseling,’’ kata Dayang Lily yang juga graduan kejuruteraan komputer dari Rensselear Polytechnic Institute, Troy, New York, Amerika Syarikat.

Tambah Hani pula, penglibatan mereka dalam dunia perniagaan ini juga kerana pada waktu itu, anak-anak mereka masih kecil dan memerlukan perhatian yang lebih.

Maka, katanya, dengan bekerja di rumah, masa untuk bersama keluarga boleh disesuaikan.

Namun, menurutnya, setelah melihat usaha itu mendapat sambutan yang menggalakkan dan berjaya menyakinkan pelanggan, timbul pula keinginan untuk mempunyai sebuah premis yang bakal menjadi pusat sehenti kepada ibu-ibu yang mencari produk dan buku yang berkonsepkan Islam.

Pada tahun lalu, premis Ummiku Sayang yang terletak di Taipan USJ, Subang Jaya memulakan operasi.

Menurut Hani, premis ini merupakan pusat sehenti kepada ibu bapa yang mementingkan konsep Islam bagi mendapatkan barangan keperluan seperti baju renang Muslimah, telekung, baju-baju, permainan, produk rawatan serta buku kanak-kanak yang sememangnya menarik dengan tawaran harga yang amat berpatutan.

“Kini premis ini dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu buku dan butik .

“Iaitu semasa wanita itu mengandung, dia boleh cari pakaian mengandung, kemudian produk untuk menyusu, apabila dah ada anak, bahan-bahan untuk pembelajaran. Produk yang ada dari bayi, kanak-kanak, remaja dan keibubapaan.

“Jika anda datang ke Ummiku Sayang, anda akan dapat apa yang anda mahu,’’ kata Dayang Lily.

Berjaya

Tambah beliau, walaupun Ummiku Sayang telah mempunyai premis, namun pesanan bahan bacaan melalui internet masih diteruskan, malah ia semakin diminati.

Ujar Dayang Lily yang berasal dari Kuching, Sarawak, sekarang kebanyakan pelanggan bukan sahaja dari Malaysia, malah telah mendapat sambutan dari luar seperti Australia, Singapura dan New Zealand dan lain-lain lagi.

Sementara itu, Hani yang berkelulusan kejuruteraan dari Balparaiso University, Indiana, Amerika Syarikat mencelah, walaupun agak sukar untuk menyakinkan pelanggan mengenai perkhidmatan mereka pada mulanya ekoran masalah komunikasi dan interaksi yang berlaku secara satu hala, namun itu telah berjaya diatasi.

“Kami menyediakan pernyataan lengkap termasuk harga yang ditawarkan bagi memudahkan para pelanggan, sementara informasi yang disalurkan juga tepat dan ringkas selain gambar yang dipilih terang dan menepati pernyataan,’’ jelasnya yang merupakan ibu kepada empat orang anak yang berusia dari dua hingga sembilan tahun.

Anak kelahiran Alor Star, Kedah ini memberitahu, Ummiku Sayang juga turut mengadakan ALIM Kids Playgroup Programme yang merupakan singkatan kepada Active, Lively, Intelligent, Muslim untuk kanak-kanak berusia 2 hingga 4 tahun.

Tambah Dayang Lily yang juga mempunyai empat orang cahaya mata, program ini bagi menyediakan persekitaran pembelajaran yang menghiburkan dan membantu perkembangan fizikal, intelektual, sosial dan emosi mengikut konsep Islam.

“Ia adalah gabungan konsep pembelajaran dengan projek kraf. Ia juga menyediakan imaginasi menerusi lagu, cerita dan pergerakan.

“Setiap modul dikenakan bayaran sebanyak RM150. Ia diadakan pada setiap hari Sabtu selama sejam di Ummiku Sayang,’’ kata Dayang Lily.

Dalam pada itu, Ummiku Sayang turut menawarkan kepada sesiapa yang berminat untuk menjadi ejen, ahli atau membuka pusat ALIM Kids Playgroup Programme dengan menghubungi talian 03-80248664 atau melayari laman web www. UmmikuSayang.com.