Khamis, 18/07/2019

Tugas Ellene Menghiburkan Kanak-kanak (Utusan Malaysia-Keluarga, 10 September 2007)

Seronok melihat gelagat sekumpulan kanak-kanak berusia dari lima hingga 12 tahun bergembira di Party Friends. Walaupun baru pertama kali bersua muka, mereka kelihatan mesra dan banyak perkara yang ingin diceritakan antara satu sama lain.

Itulah hasilnya selepas satu aktiviti yang dianjurkan Party Friends, sebuah syarikat penganjur majlis untuk kanak-kanak. Hilang sifat pasif, malu, pendiam selepas sesi ice breaking (suai kenal) dijalankan.

Terletak di Lorong Setiabistari 2, Bukit Damansara, Kuala Lumpur, Party Friends merupakan sebuah syarikat perancang majlis termasuk majlis hari lahir, majlis kanak-kanak, aktiviti, permainan serta macam-macam lagi.

Malah yang seronoknya, kanak-kanak atau ibu bapa sendiri boleh mencadangkan tema majlis mengikut yang digemari anak-anak dan serahkan semuanya kepada pemilik Party Friends Sdn. Bhd.

Kata orang yang bertanggung jawab menubuhkan Party Friends, Ellene Fadzillah Ahmad, kanak-kanak biasanya memilih tema sambutan majlis hari lahir mereka mengikut tema filem yang hangat pada masa tersebut.

“Jika pada masa itu filem Harry Potter sedang hangat ditayangkan di pawagam, maka tema sambutan mereka diadakan mirip seperti sekolah Hogwarts.

“Jika mereka inginkan suasana seperti dalam filem Star Wars, maka mereka sendiri mengenakan busana seperti watak-watak yang terdapat dalam filem tersebut,” jelasnya ketika ditemubual di premisnya baru-baru ini.

Pengalamannya sebagai ibu kepada dua anak memberi beliau kelebihan untuk berinteraksi dengan kanak-kanak.

Malah menurutnya, sebagai perancang parti tugasnya adalah untuk menghiburkan kanak-kanak, oleh itu amat penting baginya menguasai majlis dan mood kanak-kanak.

Bukan sekadar berhibur

“Karenah kanak-kanak pelbagai, justeru sebagai perancang majlis dan juga juruacara majlis saya perlu kreatif dan bijak menangani suasana agar kanak-kanak seronok dan dapat belajar sesuatu bukan sekadar berhibur,” ujar bekas jurutera awam ini.

Malah, Ellene juga perlu mengawasi kanak-kanak agar lebih berdisiplin dan mengelakkan berlaku pergaduhan sesama mereka.

Sebab itu menurut Ellene, dia lebih memberi penekanan terhadap proses belajar secara interaksi.

Setiap aktiviti yang dibuat, bukanlah bertujuan untuk menguji kepintaran minda tetapi yang ditekankan adalah aspek pergaulan dan sosial yang baik.

“Bayangkan ada kanak-kanak yang hadir ke parti belum pernah berkenalan antara satu sama lain, mereka mungkin anak kenalan antara ibu bapa, Jadi proses ice breaking amat penting sebelum sesuatu majlis dimulakan,” katanya yang telah empat tahun berkecimpung dalam bidang perancangan parti kanak-kanak ini.

Kata Ellene, selepas sesi ice breaking, kanak-kanak diminta mencari pasangan dan diminta mengikut arahan yang diberikan oleh koordinator.

Sudah pasti bahasa perantara yang digunakan ialah bahasa Inggeris, menurut Ellene, kanak-kanak akan lebih lagi menguasai bahasa tersebut dengan permainan minda dan aktiviti yang dibuat.

Sepanjang penglibatan Ellene, beliau telah banyak menganjurkan parti hari lahir. Antara pengalaman yang tidak boleh dilupakan ialah ketika menganjurkan majlis hari lahir puteri kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, Tengku Zaharah, 5.

“Saya sungguh terkejut apabila menerima panggilan dari Istana Negara. Saya sangka menganjurkan parti hari lahir seorang puteri diraja penuh dengan protokol, tetapi mujurlah segalanya dipermudahkan dengan perkenan Tuanku dan Permaisuri,” kata Ellene menyifatkan kerjanya di Istana Negara 26 Mei lalu sebagai satu pengalaman cukup manis.

Selain majlis hari lahir puteri tersebut, Ellene juga pernah meraikan majlis sambutan hari lahir anak kepada Datin Seri Tiara Jacquelina dan Datuk Seri Affendi Norwawi serta ramai anak kenamaan lain.

Di awal pembukaan Party Friends, 80 peratus pelanggan Ellene adalah daripada golongan ekspatriat.

Perkembangan sosial

Namun, kini trend tersebut telah berubah di mana orang Melayu juga semakin sedar akan kebaikan menganjurkan majlis sebegini untuk perkembangan sosial anak-anak mereka.

Sebagai perancang majlis, Ellene bertanggungjawab menyediakan bahan-bahan aktiviti, tarian, nyanyian, muzik dan berinteraksi dengan baik agar kanak-kanak tidak berasa bosan.

Malah, dia juga telah bekerjasama dengan Pusat Sains Negara selama tiga tahun berturut-turut untuk menganjurkan majlis yang bersifat menambah pengetahuan dalam ilmu sains.

Berdasarkan pengalamannya, kanak-kanak perempuan lebih menggemari majlis sambutan hari lahir ala puteri.

“Jika mereka mahukan seperti itu, maka kami akan menentukan konsepnya. Sebagai contoh, kami mengadakan rawatan spa termasuk urutan tangan, rawatan kuku dan sebagainya agar mereka dapat merasai seperti seorang puteri,” ujarnya.

Ellene mengakui, majlis yang mempunyai tema tertentu menuntut perbelanjaan yang lebih, justeru perbincangan diadakan terlebih dahulu dengan ibu bapa sebelum kata putus diambil.

“Minimum jumlah kanak-kanak untuk satu majlis ialah 20 orang dan maksimum 80 orang. Kami akan bekalkan pek parti, serta segala bahan kraf tangan untuk dihasilkan sendiri oleh mereka dan kemudian boleh dibawa balik,” tambahnya.

Terkini, Ellene dan pasukannya telah menganjurkan acara membuat mufin untuk Malaysia Book of Records bertempat di Menara Kuala Lumpur.

Lebih 10 kanak-kanak berumur antara lima hingga 12 tahun terlibat dan mereka diajar untuk menghasilkan mufin oleh Chef Azmir dari Party Friends, sambil menyanyi dan menari.

Jika difikirkan, memang tidak ramai individu mahu mengambil risiko untuk menjalankan perniagaan perancangan majlis keraian untuk kanak-kanak, namun tidak bagi Ellene.

Jelasnya, idea untuk menubuhkan Party Friends tercetus di sebalik kesibukan ibu bapa bekerja pada masa kini.

“Kesibukan ibu bapa menuntut mereka mewujudkan masa berkualiti dengan anak-anak.

“Dengan adanya kami (Party Friends) membantu ibu bapa menguruskan segala perancangan untuk majlis yang boleh menghiburkan anak-anak,” ujarnya menutup bicara.

Info

Party Friends Sdn. Bhd. 15-1, Lorong Setia Bistari 2, Bukit Damansara 50490 Kuala Lumpur Tel: 2087 1177

* Harga minimum bagi anjuran majlis untuk seorang kanak-kanak ialah RM35. Bagi majlis yang mempunyai tema tertentu harganya lebih.

* Makanan, alatan semasa aktiviti, pek parti serta bahan aktiviti disediakan dan boleh dibawa pulang oleh kanak-kanak.