Khamis, 25/04/2019

PROSPER Jana Pendapatan RM1b (Mingguan Malaysia-Dalam Negeri, 13 Mei 2007)

Projek Usahawan Bumiputera Dalam Bidang Peruncitan (Prosper) dijangka menjana lebih RM1 bilion pendapatan usahawan bumiputera dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, ia membabitkan penyertaan lebih 2,700 usahawan baru melalui tiga skim Prosper yang dikendalikan oleh Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).

“Ini sasaran paling minimum sebab kita mengharapkan lebih daripada itu kerana dalam tempoh RMK-9, PUNB menyediakan peruntukan hampir RM400 juta kepada usahawan baru yang terlibat dalam skim Prosper,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Taklimat Bergerak PUNB 2007 di Hotel Sunway Seberang Jaya di sini hari ini.

Nor Mohamed berkata, PUNB menyasarkan lebih 1,450 usahawan baru menyertai Skim Peruncit melibatkan peruntukan RM350 juta dan sebanyak 140 orang lagi menyertai Skim Pemborong dengan peruntukan RM25 juta sehingga akhir tahun 2010.

Beliau memberitahu, lebih 1,000 siswazah lagi akan menyertai skim baru iaitu Skim Siswazah menggunakan peruntukan RM25 juta dalam tempoh RMK-9.

Katanya, sasaran itu mampu dicapai berdasarkan pencapaian cemerlang sebelum ini iaitu PUNB setakat ini berjaya melahirkan 1,276 peruncit dengan nilai pelaburan sebanyak RM182 juta meliputi 887 syarikat yang beroperasi seluruh negara.

Selain itu, katanya, sebanyak 21 syarikat pemborong dengan nilai pelaburan sebanyak RM25 juta turut dihasilkan sejak Prosper dilancarkan pada tahun 2000.

“Jumlah pendapatan usahawan ini dianggarkan RM500 juta setahun dan mereka turut berjaya menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 30,000 kakitangan di syarikat mereka,” katanya.

Menurutnya, skim Prosper kini tidak terbatas kepada perniagaan runcit tradisional sebaliknya melibatkan pelbagai bidang baru termasuk automotif, farmasi, barang kemas, bahan binaan, kejuruteraan, produk pertanian bio, herba, tekstil, barangan logam dan kedai roti.