Khamis, 25/04/2019

PUNB Sasar Lahirkan 480 Usahawan Bumiputera (Berita Harian-Ekonomi, 14 Mei 2007)

Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) mensasarkan untuk melahirkan 480 usahawan Bumiputera baru tahun ini menerusi empat skim yang dikendalikannya. Ketua Eksekutifnya, Datuk Mohd Nasir Ahmad, berkata daripada jumlah itu, 300 usahawan disasar dilahirkan di bawah Skim Projek Usahawan Bumiputera Dalam Bidang Peruncitan (Prosper), 150 menerusi Skim Prosper Siswazah, 12 melalui Skim Pembiayaan Usahawan Kecil dan Sederhana (PKS) dan 18 di bawah Skim Pemborong Prosper. Beliau berkata, PUNB akan mengatur strategi promosi lebih agresif bagi memastikan sasaran itu dicapai. Ini, katanya termasuk mengadakan promosi di seluruh negara membabitkan pegawai PUNB, malah beliau sendiri akan turun padang untuk jadual tertentu bagi menggiatkan lagi usaha penggalakan itu. “Sepanjang Januari hingga April lalu, kami telah menganjurkan lebih 15 sesi taklimat di beberapa lokasi seluruh negara. Ini tidak termasuk sesi taklimat mingguan di ibu pejabat PUNB di Plaza Sentral serta beberapa lokasi terpilih. “Bagi mereka yang berminat untuk menyertai skim yang disediakan PUNB mereka boleh merujuk laman web kami atau berhubung terus dengan pegawai kami,” katanya ketika ditemui di Kuantan, baru-baru ini. Skim Prosper diwujudkan pada Ogos 2000, tetapi digerakkan secara aktif pada Januari 2001. Ia menyaksikan kemajuan ketara pada 2005 apabila skim itu diperluaskan dengan mewujudkan Skim Prosper Siswazah pada Ogos tahun itu untuk menggalakkan siswazah Bumiputera tidak melebihi 31 tahun menyertai perniagaan dalam sektor peruncitan. Pinjaman di bawah skim itu bermula daripada RM50,000 dan siswazah yang dipilih hanya perlu mengeluarkan modal sendiri sebanyak 10 peratus daripada modal modal penubuhan perniagaan. Skim Prosper diperluaskan lagi tahun lalu dengan memperkenalkan Skim Pemborong Prosper pada Februari bertujuan mencari sinergi kepada peruncit Bumiputera lain untuk mendapatkan bekalan daripada pemborong Bumiputera. PUNB menawarkan pembiayaan kira-kira RM240 juta sehingga 2010 untuk membangunkan usahawan Bumiputera sebagai pemborong, pengedar atau pembekal berdaya maju dan berdaya saing. Di bawah inisiatif memajukan pemborong Bumiputera itu, kadar pembiayaan ditambah daripada had maksimum RM5 juta di bawah skim Prosper biasa.