Khamis, 25/04/2019

PUNB Lulus 136 Skim PROSPER Siswazah (Berita Harian-Ekonomi, 23 April 2007)

Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) sudah meluluskan 136 permohonan di bawah Skim Projek Usahawan Bumiputera Dalam Bidang Peruncitan (Prosper) Siswazah. Ketua Eksekutifnya, Datuk Mohd Nasir Ahmad, berkata ia membabitkan pembiayaan RM5.4 juta. Beliau berkata, daripada permohonan diluluskan itu, 92 memulakan operasi dengan pembiayaan yang dikeluarkan sebanyak RM3.9 juta. “Bentuk perniagaan diceburi siswazah terbabit adalah dalam pelbagai bidang seperti restoran, penyediaan makanan dingin beku, kelas tambahan, jualan langsung, kedai jahit dan butik pakaian, serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT),” katanya. Mohd Nasir berkata, Walaupun PUNB berjaya menjana sebilangan usahawan siswazah, tetapi bilangannya masih jauh lebih rendah daripada disasarkan. Justeru, katanya, PUNB telah menyemak semula sasaran itu kepada angka yang lebih mampu dicapai. “Ketika kami melancarkan skim Prosper Siswazah, kami mensasarkan melahirkan 200 usahawan di kalangan siswazah setiap tahun, tetapi sasaran itu disemak semula kepada 150 setahun,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Dalam tempoh sepanjang Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), PUNB disasarkan untuk menjana 1,000 usahawan siswazah. Mohd Nasir berkata, pertumbuhan pinjaman di bawah Prosper Siswazah yang lebih perlahan itu disebabkan kurangnya minat di kalangan golongan itu untuk menyertai bidang perniagaan kerana lebih gemarkan pekerjaan yang boleh memberikan pendapatan tetap. Selain itu, katanya, faktor seperti tuntutan ibu bapa yang mahukan anak-anak masing-masing mendapatkan pekerjaan tetap juga menyekat pembabitan siswazah dalam bidang perniagaan. Skim Prosper Siswazah ditubuhkan untuk menggalakkan siswazah Bumiputera berumur tidak melebihi 31 tahun menyertai sektor peruncitan. Bagi menggalakkan mereka, syarat Prosper Siswazah dilonggarkan dengan membenarkan penyertaan siswazah yang tidak mempunyai kedai. Pinjaman yang ditawarkan bermula dari RM50,000 dengan siswazah hanya mengeluarkan 10 peratus atau RM5,000 daripada modal penubuhan perniagaan. Mohd Nasir berkata, walaupun pertumbuhan skim Prosper Siswazah agak perlahan, tetapi prestasi peminjam setakat ini adalah begitu menggalakkan. Katanya, daripada projek yang diluluskan, hanya satu yang gagal sementara empat pula tidak memulakan perniagaan kerana walaupun permohonan telah diluluskan kerana telah mendapat pekerjaan tetap.