Jumaat, 26/04/2019

Pinjaman RM240j Bantu Pemborong Bumiputera (Berita Harian-Ekonomi, 2 April 2007)

Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) menawarkan kira-kira RM240 juta menerusi Skim Projek Usahawan Bumiputera Dalam Bidang Peruncitan (Prosper) sebagai pembiayaan bagi memajukan pemborong Bumiputera.

 

Ketua Eksekutif PUNB, Datuk Mohd Nasir Ahmad, berkata berkata dana itu adalah sebahagian peruntukan yang diberikan kepada PUNB sepanjang Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) untuk membangunkan usahawan Bumiputera sebagai pemborong, pengedar atau pembekal berdaya maju dan berdaya saing.

Beliau berkata, di bawah inisiatif memajukan pemborong Bumiputera itu, kadar pembiayaan ditambah daripada had maksimum RM5 juta di bawah skim Prosper biasa.

“PUNB sedang berusaha menarik penyertaan usahawan Bumiputera untuk menyertai sektor pemborongan.

“Dalam tempoh RMK-9 kami diberi peruntukan sebanyak RM245 juta untuk menggalakkan pertumbuhan bilangan pemborong Bumiputera di negara ini.

“Kami masih memiliki baki kira-kira RM180 juta untuk disalurkan kepada bakal pemborong dan bagi mempercepatkan proses ke arah itu, PUNB akan memohon kepada kerajaan tambahan RM60 juta lagi, menjadikan peruntukan keseluruhan sebanyak RM260 juta,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau berkata, pembiayaan yang diberikan tidak terhad kepada peruncit Prosper sedia ada, tetapi juga kepada peniaga Bumiputera lain yang berpotensi dikembangkan kepada pemborong.

Ia juga, katanya, tidak terhad kepada perniagaan yang dimiliki 100 peratus Bumiputera, malah turut dibuka kepada usaha sama antara Bumiputera dan bukan Bumiputera dengan nisbah perkongsian 70:30.

Mohd Nasir berkata, perniagaan pemborongan yang akan dipertimbangkan untuk pembiayaan termasuk pengedaran dan pemasaran pukal tekstil, perabot, barangan perubatan, hasil tani, automotif, bahan binaan yang meliputi hiasan dan kelengkapan binaan, barangan dapur, dan komputer serta teknologi maklumat.

Namun, katanya, sektor yang dibiayai tidak terhad kepada bidang itu saja, sebaliknya bagi sektor lain yang mempunyai potensi pasaran yang luas.

Mohd Nasir berkata, sejak dilancarkan pada Januari 2006, skim perniagaan pemborongan Prosper sudah membangunkan 15 usahawan membabitkan pembiayaan berjumlah RM16 juta.

Beliau menjangka PUNB mampu membangunkan 135 usahawan borong Bumiputera sepanjang RMK-9 jika permohonan bagi dana tambahan itu diluluskan berbanding unjuran awal sebanyak 98.

Bagi menggalakkan peniaga Bumiputera menyertai sektor pemborongan, PUNB katanya, akan memperluaskan kegiatan penerangan di seluruh negara, selain menawarkan pakej pembiayaan lebih mudah dan menarik.

Beliau berkata, pembiayaan yang ditawarkan adalah di skim berlandaskan Syariah dengan tempoh pembayaran balik sehingga tujuh tahun.

Tujuan pembiayaan termasuk bagi keperluan modal pusingan, pembelian stok dan aset, serta lain-lain keperluan yang berkaitan perniagaan yang dicadangkan.