Khamis, 18/07/2019

MM Vitaoils Tembusi Pasaran Amerika April (Berita Harian-Ekonomi, 29 Mac 2007)

 

MM Vitaoils Sdn Bhd, pengeluar produk hiliran berasaskan minyak sawit, akan mula memasuki pasaran Amerika Syarikat (AS) apabila ia mengeksport tiga kontena produk berkenaan termasuk minyak masak pertengahan bulan depan.

Pengarah Urusannya, Mazlan Muhammad, berkata penghantaran sulung itu susulan kelulusan pihak berkuasa AS yang memberi kebenaran pengimportan produk berasaskan minyak sawit keluaran MM Vitaoils selepas memenuhi syarat ketat yang ditetapkan.

Katanya, syarikat mensasar untuk meningkatkan eksport produk berkenaan kepada 50 kontena menjelang penghujung tahun ini selepas kejayaan penghantaran pertama itu.

“Terdapat peningkatan permintaan bagi minyak sawit di AS kerana ia tahan lebih lama berbanding kacang soya. Ia juga bahan penting bagi pembuatan pelbagai produk seperti kek dan biskut.

“Kami sudah lama merancang untuk menerokai pasaran AS dan mengambil masa lebih setahun sebelum pihak berkuasa negara itu memberi kebenaran mengimport minyak sawit keluaran syarikat,” katanya ketika ditemui di Shah Alam, semalam.

MM Vitaoils kini mengeksport lelemak, ghee tumbuhan, majerin, minyak salad dan minyak masak makanan ke 32 negara, menggunakan jenama Serimas, Palmas, Rise & Shine, Blossommm, Marvellosso, Qualitaste, MM Vitaoils, Golden Treat dan Superfino.

MM Vitaoils mempunyai kilang termoden di Malaysia dengan kapasiti melebihi 8,000 tan sebulan.

Kilang berkenaan mampu mengeluarkan produk dalam pelbagai saiz iaitu daripada 10 gram ‘tub’ sehingga 20 tan tangki flexi serta keupayaan mempelbagaikan pembungkusan seperti beg nylon, ‘tub’, tin, jerry cans, ‘pet bottles’, kotak dan dram.

Pada masa sama, MM Vitaoils bersama Majlis Minyak Sawit Malaysia menaja 13 episod siri masakan dan pengembaraan Serimas Selera Dunia yang mengutarakan konsep pengembaraan dan makanan halal yang akan menemui penonton RTM 2 setiap Ahad, jam lima petang.

Rancangan berkenaan yang dihoskan Chef Zam, yang akan bertindak sebagai pengembara dan membawa jenama Serimas keluaran MM Vitaoils menjelajah Korea, Hong Kong, China dan India bagi mencari serta menikmati resipi makanan tempatan yang lazat dan terkenal.

Mazlan berkata, MM Vitaoils sedang merancang menerokai pasaran Timur dan Barat Afrika sebagai strategi perluasan pasaran, selain Eropah, Asia Tengah dan Asia.

Katanya, bagi tujuan itu, MM Vitaoils sudah memiliki pengiktirafan antarabangsa seperti sijil ISO 9001:2000 dan sijil pengesahan piawaian kebersihan HACCP dan amalan pengilangan terbaik (GMP).

MM Vitaoils menerusi jenama Serimas terpilih sebagai ‘Jenama Terbaik Dunia di Asia Pasifik 2006/2007 bagi kategori minyak sawit – Konsumer’ oleh The Brandlaureate.

Ia turut dianugerahkan ‘Sijil Kecemerlangan Jenama bagi Serimas’ oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada 2006.