Khamis, 18/07/2019

Ekonomi Negara Masih Kukuh (Utusan Malaysia-Ekonomi, 16 Mac 2007)

Ekonomi negara masih berada dalam keadaan kukuh, kata Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, di sini hari ini.

Katanya, ini kerana Malaysia mengamalkan dasar ekonomi yang pelbagai dan tidak bergantung sepenuhnya kepada Amerika Syarikat (AS).

Sehubungan itu, beliau meminta pelabur di negara tidak terlalu bimbang dengan soal kejatuhan Indeks Purata Perusahaan Down Jones pada Rabu lepas.

“Kedudukan ekonomi kita memang kukuh, kita tidak bergantung sepenuhnya kepada AS 100 peratus walaupun kita buat perdagangan dengan negara berkenaan.

“Kita tak perlu bimbang sangat dengan kedudukan (ekonomi) di AS.

Keadaan ekonomi di peringkat global secara keseluruhan berada dalam keadaan baik, di AS, pasaran perumahan sahaja yang terjejas,” katanya kepada pemberita selepas Sesi Jaringan Usahawan Pantai Timur Bersama Menteri Kewangan Kedua.

Turut hadir ialah Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) Tan Sri Abu Bakar Mohd Noor, Ketua Eksekutif PUNB Datuk Mohd Nasir Ahmad dan Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Perlaksanaan Tan Sri Khalid Ramli.

Bernama semalam melaporkan kejatuhan 242.66 mata (1.97 peratus) di Indeks Purata Perusahaan Dow Jones Rabu lepas telah memberikan kesan buruk kepada rantau ini yang turut menyebabkan Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) jatuh sebanyak 33.63 mata atau 2.802 peratus semalam.