Khamis, 18/07/2019

Usahawan Bumiputera Dilatih Jadi Pemborong (Berita Harian-Ekonomi, 16 Mac 2007)2

Skim Projek Usahawan Bumiputera Dalam Bidang Peruncitan (Prosper) akan dijenamakan semula sejajar matlamat kerajaan untuk meningkatkan pula penyertaan Bumiputera dalam perniagaan pemborongan.

Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata penjenamaan semula itu antara lain membabitkan pewujudan mekanisme lebih menyeluruh bagi mengembangkan peniaga runcit Bumiputera sedia ada untuk menjadi peniaga borong.

“Kerajaan mensasarkan 252 atau 30 peratus daripada 837 usahawan runcit yang sudah berjaya dibangunkan menerusi skim Prosper dikembangkan pula sebagai peniaga borong dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Beliau menegaskan, melalui langkah berkenaan kerajaan juga mahu melihat penyertaan pemborong Bumiputera dalam semua sektor dengan tumpuan terhadap sektor utama seperti pembinaan.

“Di bawah penjenamaan semula itu, usahawan runcit berjaya akan dibantu menjadi pemborong dan ini akan mewujudkan jaringan yang bakal menyokong mewujudkan penyertaan lebih ramai Bumiputera, khususnya siswazah dalam bidang peruncitan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sesi Jaringan Usahawan Pantai Timur Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), di Kuala Terengganu semalam.

Hadir sama Pengerusi PUNB, Tan Sri Abu Bakar Mohd Noor; Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Khalid Ramli dan Ketua Eksekutif PUNB, Datuk Mohd Nasir Ahmad.

Nor Mohamed berkata, daripada 837 usahawan runcit yang sudah dibangunkan di bawah skim Prosper, 15 terbabit dalam perniagaan stesen minyak dan produk petroleum, automotif dan bengkel (97), tekstil (112), dobi (118) dan komputer (15 orang).

Beliau berkata, sejak penubuhan Prosper pada Ogos 2000, PUNB sudah meluluskan 1,195 perniagaan bernilai RM301.4 juta dengan 288 perniagaan bernilai RM62.9 juta diluluskan tahun lalu.

“Bagi skim Prosper Siswazah yang diperkenalkan pada 2005, PUNB sudah memberi kelulusan kepada 129 siswazah dan sehingga Februari lalu seramai 84 sudah beroperasi,” katanya.

Bagaimanapun, Nor Mohamed menegaskan, tahap pencapaian skim itu keseluruhannya masih belum memuaskan kerana 125 perniagaan yang diluluskan gagal.

“Justeru, saya berharap PUNB akan berusaha mencari jalan mengurangkan kadar kegagalan dengan memberikan bimbingan selain bantuan kewangan,” katanya.

Sementara itu, mengulas kejatuhan harga saham di Bursa Malaysia yang dikatakan berpunca daripada kemerosotan di pasaran saham Amerika Syarikat, Nor Mohamed berkata, pelabur sepatutnya tidak perlu terlalu bimbang dengan keadaan di Amerika itu.

Beliau menjelaskan, kedudukan ekonomi Malaysia adalah kukuh dan tidak bergantung sepenuhnya kepada Amerika kerana dasar kepelbagaian perdagangan diamalkan negara ini.

“Kita tak perlu bimbang sangat dengan kedudukan (ekonomi) di Amerika. Keadaan ekonomi pada peringkat global keseluruhan dalam keadaan baik. Di Amerika pula hanya pasaran perumahannya saja yang terjejas,” katanya.