Khamis, 25/04/2019

Pasukan Khas Atasi Masalah Peniaga (Berita Harian-Ekonomi, 14 Februari 2007)

Kementerian Kewangan akan menubuhkan sebuah pasukan petugas bagi membantu menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi persatuan yang mewakili peniaga kecil.

Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata Pasukan petugas itu akan dianggotai pegawai dari Kementerian Kewangan, Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Bhd (SME Bank), Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) serta wakil persatuan perniagaan.

Katanya, mesyuarat pertama pasukan petugas itu diadakan dalam tempoh enam bulan dan laporannya dikemukakan kepada beliau dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Setiausaha Parlimen kementerian itu, Datuk Dr Hilmi Yahaya.

“Pasukan petugas itu akan bermesyuarat dalam tempoh enam bulan dan akan melapor kepada saya, Awang Adek dan Hilmi untuk membuat keputusan serta menyelesaikan masalah,” katanya pada sidang media selepas berdialog dengan 50 ahli Persatuan Pengguna Islam Malaysia dan Ahli-Ahli Niaga Bluemosque Fraternity, di Putrajaya, semalam.

Nor Mohamed berkata, pasukan petugas itu akan menjalankan tanggungjawab secara sistem ‘klinik’ iaitu bertemu setiap persatuan secara bersemuka untuk membincangkan isu dan mencari penyelesaian berhubung masalah masing-masing.

“Mungkin ada isu yang boleh diselesai dengan cepat dan mudah dan ada isu yang harus dipertimbang secara mendalam.

“Kami akan cuba pastikan isu yang mudah diselesaikan secepat mungkin,” katanya.

Nor Mohamed berkata, ekonomi negara ketika ini sedang melalui tempoh menggalakkan, justeru semua pihak perlu berusaha meraih manfaat daripada perkembangan itu.

“Masyarakat peniaga perlu diberi bantuan. Mereka perlu mencari kaedah meraih kekayaan yang banyak ditawarkan dalam negara.

“Adalah penting kekayaan yang diwujudkan hasil pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati semua pihak,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan sudah menyediakan banyak kemudahan untuk memastikan masyarakat peniaga tempatan terus berkembang serta meningkatkan sumbangan dan peranan mereka kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Ia termasuk penyediaan peluang perniagaan, kemudahan pembiayaan, pemberian insentif, selain bimbingan dan khidmat nasihat, katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan peniaga mempunyai akses kepada pembiayaan, kerajaan menyediakan pelbagai skim dalam bentuk pinjaman mudah, geran dan jaminan kredit.

Mengambil skim Projek Usahawan Bumiputera Dalam Bidang Peruncitan (Prosper) sebagai contoh, Nor Mohamed berkata, kerajaan berjaya meningkatkan penyertaan usahawan Bumiputera dalam sektor peruncitan strategik.

Setakat ini, Prosper sudah mewujudkan hampir 3,000 usahawan Bumiputera dalam bidang perniagaan, termasuk kedai makanan, perkhidmatan sokongan industri kereta, pakaian, kedai buku, farmasi, komputer, optikal, perabot dan hiasan rumah, membabitkan jumlah keseluruhan pelaburan RM132 juta.