Khamis, 25/04/2019

PUNB, UiTM Tubuh Jawatankuasa Kerjasama (Berita Harian-Pendidikan, 10 Februari 2007)

Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) sepakat menubuhkan Jawatankuasa Penyelaras Bersama bagi melancarkan pelbagai kerjasama dikenal pasti melalui memorandum persefahaman (MoU) dimeterai kelmarin. Penubuhan jawatankuasa itu dicadangkan Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Seri Dr Ibrahim Abu Shah, sebelum ia dipersetujui Pengerusi PUNB, Tan Sri Mohd Abu Bakar Mohd Noor, ketika menyampaikan ucapan masing-masing pada majlis berkenaan. Ibrahim berkata, jawatankuasa itu penting untuk merealisasi aspirasi dihasratkan bersama melalui MoU berkenaan yang dimeterai sebagai kemuncak program Minggu Keusahawanan Siswa UiTM berlangsung tiga hari, mulai 6 Februari lalu. Katanya, pengisian MoU itu membabitkan kerjasama UiTM dan PUNB dalam lapan aspek, iaitu program latihan, bidang penyelidikan, perkongsian data, perkhidmatan pakar runding dan program tindikan. Selain itu, bekerjasama dalam usaha membangunkan usahawan muda, akses kepada kemudahan serta Program Tunas Mekar dan Kelab Usahawan UiTM. Beliau berkata, kedua-dua pihak akan mengadakan latihan bersama atau bengkel untuk membangunkan modal insan di kalangan kakitangan UiTM dan PUNB, pelajar serta usahawan Bumiputera. “Selain itu, menjalankan penyelidikan di mana penemuannya membantu membangunkan usahawan Bumiputera. ”Ini termasuk kebenaran kepada usahawan Bumiputera untuk akses hasil penemuan penyelidikan dijalankan kakitangan UiTM. “Data dan kepakaran mengenai pasaran serta industri dianggap penting untuk kedua-dua pihak boleh dikongsi bersama, manakala perkhidmatan pakar runding diberi untuk meningkatkan prestasi usahawan Bumiputera. “Program tindikan pula akan menyaksikan bakal usahawan Bumiputera diberi pendedahan persekitaran perniagaan, termasuk peluang mengumpul kepakaran teknikal sebagai bekal menjadi usahawan Bumiputera,” katanya. Sementara itu, Mohd Abu Bakar pula berkata, ketika ini PUNB menyediakan empat pakej pembiayaan berlandaskan konsep syariah bagi membantu usahawan Bumiputera. Beliau berkata, pakej berkenaan ialah Pembiayaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Projek Usahawan Bumiputera dalam bidang Peruncitan (Prosper), Prosper Siswazah serta Pemborong Prosper. “Sejak ditubuhkan pada 1991, PUNB melahirkan 309 usahawan Bumiputera dalam 106 syarikat PKS, manakala Prosper sejak pembabitan PUNB mulai Ogos 2000, sejumlah 1,195 perniagaan runcit diluluskan dalam pelbagai bidang, termasuk profesional seperti firma akauntan, arkitek dan klinik perubatan. “Skim Prosper Siswazah dilancarkan Februari tahun lalu pula melahirkan 129 usahawan, sementara Skim Pemborong Prosper 15 pemborong,” katanya. ©The New Straits Times Press (M) Berhad