Khamis, 25/04/2019

Pesara Beralih Bidang (Berita Harian-Citra, 12 Disember 2006)

Kebanyakan pendidik yang bersara selalu dikaitkan dengan pembukaan pusat tuisyen atau mengajar di kolej swasta. Bagaimanapun keadaan berbeza bagi bekas Pengetua Sekolah Menengah Alam Shah, Yusuff Osman.

Yusuff dan isterinya, Nur Afza Ahmad yang juga bekas pendidik di Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki, Kuala Lumpur, menukar profesion mereka melalui pengendalian Afza Silk House Sdn Bhd (Afza Silk House) mengambil sempena nama isterinya.

Yusuff berkata, sebelum bersara dia menerima pelbagai tawaran kolej swasta dan agensi terbabit pendidikan menggunakan khidmatnya, tetapi menolaknya kerana ingin berehat.

Bagaimanapun katanya, pembukaan premis Afza Silk House yang terletak di Pudu Impian, Jalan Pudu Ulu, Cheras akhir tahun lalu dipersetujui selepas dicadangkan isterinya berikutan kurangnya Bumiputera menceburi bidang itu.

"Saya berbincang dengan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) mengenai hasrat itu dan mereka menyokongnya. Saya dan isteri serta anak yang turut menyertai kami dikehendaki menyertai kursus anjuran PUNB.

"Kursus dijalankan di kedai pembekal tekstil Jakel Trading bagi mengetahui selok belok perniagaan itu," katanya.

Yusuff berkata, kini dia semakin meminati bidang baru itu walaupun tidak menafikan sukar melupakan bidang pendidikan yang diceburi sejak 31 tahun lalu.

Beliau berhasrat menjadikan Afza Silk House sebagai entiti Bumiputera terkenal bagi menandingi syarikat ternama lain di samping tidak melupakan produk pendidikan yang sedang diusahakannya.

Katanya, Afza Silk House menawarkan pelbagai jenis kain terbaru termasuk kain biasa dan eksklusif pada harga berpatutan.

"Pengguna boleh membanding harga ditawarkan Afza Silk House dengan kedai kain di Lembah Klang," katanya.

Beliau berkata, selain menjual secara runcit, Afza Silk House turut membekalkan kain untuk pemborong dan bagi agensi kerajaan yang ingin menempah pakaian seragam syarikat.

Katanya, syarikatnya juga turut menawarkan tempahan langsir dan pakaian dengan harga berpatutan. Fabrik eksklusif juga dijual di kedainya seperti Viscose, linen gred A, opal manik dan sulam, sutera swrosky, Vitetnam, India dan Thai, chiffon, organza, Dubai dan Korea Jacquard.

Semua kain yang dijual diperoleh daripada Jakel Trading, syarikat pengeluar kain yang terkenal di Segamat, Johor.

"Pendek kata, pelanggan di Lembah Klang tidak perlu lagi mengadakan rombongan ke Segamat kerana semua ada di Afza. Kadar harganya juga lebih kurang saja," katanya.

Yusuff memulakan kerjayanya sebagai pendidik di Maktab Mahmud, Alor Star pada 1972 dan 10 tahun kemudian dilantik Penolong Kanan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Nyior, Jitra.

Pengalaman lain ialah Pengetua SMK Jeniang, SMK Kulim dan SM Sains Raub serta SMK Sultan Abdul Halim Jitra dan terakhir SM Alam Shah selama lapan tahun.