Khamis, 18/07/2019

Dunia Si Comel di Little Haven (Utusan Malaysia-Keluarga, 31 Oktober 2006)

Comel, begitulah tanggapan pertama saya ketika melangkah masuk ke butik Little Haven di The Curve, Damansara. Dengan hiasan menarik dan penggunaan warna yang menceriakan, konsep yang diketengahkan oleh Sharmi Aryanti Shahrani, 30, memang sesuai untuk menggambarkan barangan bayi yang dijualnya.

Terasa bangga apabila melihat kaum Melayu memiliki butik di kawasan membeli belah elit seperti di The Curve, Damansara Mutiara, tambah lagi di usia yang boleh dikategorikan muda. Yakin dengan kebolehannya, Sharmi Aryanti atau lebih selesa dengan panggilan Sharmi, membuka perniagaannya di kompleks itu memandangkan pasaran di situ sesuai dengan barangan dan harga yang ditawarkan.

“Saya mula berniaga dengan menjual barangan keperluan ibu hamil. Kebanyakan pelanggan saya kembali semula ke kedai selepas bersalin untuk mencari barangan keperluan bayi, dari situ saya mengambil keputusan untuk mengenengahkan barangan keperluan bayi sebagai fokus utama perniagaan,’’ ujarnya ketika ditemui di butiknya, baru-baru ini.

Pemegang ijazah kewangan dan perbankan dari University of Winconsin, Amerika Syarikat menggunakan mendaftarkan jenama Little Haven sebagai lambang perniagaannya.

Bagi mengutamakan kualiti dan keselesaan, Sharmi mengimport fabrik untuk kelengkapan bilik tidur bayi yang kebanyakannya dari Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia.

“Saya gemar menjahit dan paling seronok apabila dapat menghasilkan satu rekaan yang comel dan menarik untuk bayi dan kanak-kanak. Yang pasti, anak-anak saya yang menjadi eksperimen kesesuaian rekaan saya,’’ kata ibu kepada empat anak berusia antara enam bulan dan tujuh tahun itu sambil tersenyum.

Menurut Sharmi, cabaran terbesar dalam perniagaannya ialah kurangnya pengalaman. Dia juga ingin berterima kasih kepada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) di bawah program PROSPER kerana memberikan khidmat nasihat serta latihan berterusan untuk usahawan sepertinya.

Bagi mengembangkan lagi perniagaan, Sharmi juga mengiklankan barangan Little Haven menerusi Maybank2U Cybermall.

“Ia adalah pembelian secara dalam talian dan ini sebagai salah satu cara untuk saya memperluaskan perniagaan ke luar dari kawasan Lembah Klang,’’ kata wanita kelahiran Kuala Lumpur ini.

Sebagai usahawan, ibu dan isteri, Sharmi tidak menafikan kadang kala dia juga berhadapan dengan masalah pembahagian waktu. Bagaimanapun, Sharmi lebih memberi penekanan kepada keluarga dengan memperuntukkan waktu malam sebagai waktu bersama keluarga.

“Saya memberikan keutamaan pada apa yang perlu diuruskan dulu. Dengan adanya butik dan dua kiosk di The Curve, sepanjang bulan Ramadan sememangnya agak sibuk. Mujurlah saya mempunyai suami dan anak-anak yang memahami,’’ katanya lagi.

“Keistimewaan Little Haven ialah mementingkan konsep ‘memberi kelegaan’ kepada pelanggan. Fabrik yang saya pilih adalah 100 peratus kapas berkualiti tinggi, tahan lama dan mudah dipakai,’’ katanya yang memiliki seramai tiga orang pekerja.

Mengakui bahawa kebanyakan pelanggannya terdiri daripada golongan pertengahan dan ke atas, Sharmi berkata kebanyakan pelanggannya adalah penduduk yang tinggal di sekitar kawasan Damansara dan Taman Tun Dr Ismail.

Menjadi harapan kepada wanita ini untuk membuka cawangannya ke seluruh negeri di Malaysia. Dia juga berazam untuk menambah lagi produk bagi menambah pilihan untuk bayi dan kanak-kanak.