Khamis, 25/04/2019

Perisian BI ke China (Harian Metro-Bisnes, 2 Oktober 2006)

Global Odyssey Corporation Sdn Bhd (GOC), syarikat Bumiputera yang terbabit dengan pembangunan perisian terutama Perisikan Perniagaan (BI) dan penilaian prestasi merancang meluaskan operasi ke China memandangkan
potensi yang amat besar di negara itu.

 

Pengarah Urusannya, Aziz Saad, berkata pihaknya sudah mula membangunkan perisian dalam bahasa Cina bagi memudahkan pelanggan negara itu menggunakan perisian terbabit di samping memperkemaskan sistem keselamatan untuk mengelakkan ia ditiru.

"Kami mendapat banyak permintaan dari luar negara untuk menyediakan perisian BI dan penilaian prestasi di negara mereka memandangkan ia mudah digunakan serta proaktif untuk menilai prestasi syarikat.

 

"Selain China, kami juga mendapat permintaan dari Dubai yang akan dilaksanakan secara kerjasama dengan syarikat tempatan negara berkenaan," katanya ketika ditemui di Puchong Jaya, baru-baru ini.

 

Ketika ini, GOC mempunyai anak syarikat di Thailand iaitu Business Intelligence Consulting Associate Co Ltd dan dua rakan kongsi di Indonesia.

 

Namun, katanya, sebelum meluaskan pasaran ke negara lain, syarikat ingin memperkukuh pasaran tempatan bagi memastikan GOC benar-benar bersedia meneroka pasaran yang lebih luas.

 

GOC yang ditubuhkan pada Mac 2005 mendapat pembiayaan daripada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) untuk membangunkan perisian dikenali sebagai Procyon 3 yang kini mendapat permintaan yang menggalakkan dari pasaran tempatan dan luar negara.

 

Procyon 3 adalah perisian yang membolehkan pelanggan memantau perubahan dan menganalisis Indeks Prestasi Utama (KPI) syarikat atau kakitangan untuk membantu sesebuah organisasi melaksanakan sebarang keputusan.

 

Katanya, melalui Procyon 3, ketua organisasi dapat menilai atau memantau prestasi syarikat hanya melalui paparan skrin komputer kerana maklumat disediakan dalam bentuk graf untuk memudahkan mereka meneliti sebarang masalah atau prestasi syarikat secara langsung tanpa perlu menyemak pelbagai dokumen.

 

"Tumpuan utama kami adalah penyimpanan data, analisis, laporan dan pemantauan papan pemuka korporat.

 

"Malah, ketua organisasi juga akan dikemaskini dengan maklumat semasa mengenai prestasi syarikat melalui sistem pesanan ringkas (SMS) ketika berada di luar negara," katanya.

 

Aziz berkata, kelebihan utama GOC adalah perkhidmatan rundingan yang disediakan kepada setiap pelanggan sebagai nilai tambah kepada mereka bagi memastikan perisian yang digunakan tidak mengalami sebarang masalah.

 

Pada masa yang sama, katanya, GOC juga bekerjasama dengan peneraju penyelesaian BI antarabangsa, Cognos sebagai penyedia perundingan kepada pelanggan.