Jumaat, 26/04/2019

Little Haven Sedia Bantu Siswazah Menganggur (Harian Metro-Bisnes, 25 September 2006)

Little Haven, syarikat Bumiputera yang mengeluarkan produk keperluan bayi dan kanak-kanak memperkenalkan `konsep penyedia’ kepada siswazah menganggur yang berminat meneroka bidang perniagaan.

Konsep penyedia yang diperkenalkan Little Haven dengan sistem ala francais itu memberi peluang perniagaan kepada siswazah dengan memasarkan jenama Little Haven sekali gus membantu kempen promosi syarikat.

Little Haven jenama tempatan yang dibangunkannya sendiri untuk menghasilkan produk keperluan bayi dan kanak-kanak seperti set bilik tidur, pakaian dan permainan berasaskan kayu.

Pemiliknya, Sharmi Aryanti Shahrani, berkata menerusi konsep itu, syarikatnya akan menyediakan stok produk kepada usahawan yang berminat dan mengenal pasti jenis perniagaan sesuai untuk mereka serta memberi tunjuk ajar cara mengendalikan perniagaan.

Katanya, usahawan boleh memilih jenis perniagaan yang dikehendaki sama ada menjual produk Little Haven secara on-line, kedai, gerai atau terus rumah ke rumah, malah bagi usahawan yang sudah ada perniagaan boleh menambah koleksi jualan mereka.

“Kami sudah mengenal pasti usahawan berpotensi ketika taklimat khas Projek Usahawan Bumiputera Dalam Bidang Peruncitan (Prosper) yang diadakan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Konsep ini bertujuan memantapkan jenama Little Haven di pasaran tempatan setanding jenama butik bayi dan kanak-kanak yang lebih terkenal dari luar negara seperti Mother’s Care, selain membantu PUNB menggalakkan lebih ramai Melayu berniaga,” katanya ketika ditemui di kedainya di The Curve, Mutiara Damansara baru-baru ini.

Mengenai operasinya, beliau berkata, Little Haven jenama tempatan yang dibangunkannya sendiri untuk menghasilkan produk keperluan bayi dan kanak-kanak seperti set bilik tidur, pakaian dan permainan berasaskan kayu.

Selain kedai sedia adanya, beliau turut membekalkan produk Little Haven ke butik bayi yang lain di sekitar Lembah Klang.

“Malah, kami turut bekerjasama dengan Maybank untuk menjual produk Little Haven secara on-line di ‘cybermall’ bank itu yang khusus untuk pemegang kad,” katanya.

Menurutnya, semua rekaan produk dihasilkan sendiri di studio jahitannya di Shah Alam dan sekiranya beliau menerima banyak tempahan, ia akan dihantar secara pukal ke sebuah lagi studio jahitan milik bekas pekerjanya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan