Khamis, 18/07/2019

160 Peserta Belum Lunas Pinjaman (Berita Harian-Nasional, 23 Julai 2006)

Kuala Lumpur: Seramai 160 daripada 824 usahawan skim Projek Usahawan Bumiputera Dalam Bidang Peruncitan (Prosper) belum menjelaskan bayaran pinjaman bernilai hampir RM2.1 juta kepada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).

Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Datuk Mohd Nasir Ahmad, berkata jumlah terbabit mewakili 20 peratus usahawan skim berkenaan yang belum menjelaskan pinjaman itu sejak Prosper ditubuhkan enam tahun lalu.

Beliau berkata, jumlah itu membabitkan usahawan yang melengahkan bayaran balik termasuk yang sudah menutup perniagaan mereka.

“Masalah itu masih boleh dipantau PUNB dan pihak kami tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang sengaja melewatkan pembayarannya dalam tempoh empat bulan selepas perniagaan bermula,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Taklimat Khas Siswazah Muda Bumiputra di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.

Kira-kira 500 bekas siswazah menghadiri taklimat itu yang diadakan bagi memberi peluang kepada mereka yang menganggur mahupun bekerja membabitkan diri dalam dunia keusahawanan terutama bidang peruncitan.

Mohd Nasir berkata, 664 usahawan skim berkenaan tidak mempunyai sebarang masalah untuk membayar balik pinjaman itu.

“Sehingga kini hasil pemantauan kita mendapati kira-kira 250 perniagaan mengalami kegagalan manakala selebihnya mencapai kejayaan.

“Mereka yang gagal itu perlu dipantau dari semasa ke semasa dengan membantu mereka meningkatkan tahap perniagaan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, Prosper yang ditubuhkan 2 Ogos 2000 bertujuan untuk membangunkan usahawan Bumiputera dalam bidang peruncitan.

“Setakat ini, sebanyak 1,040 perniagaan berjaya mendapat kelulusan di bawah skim itu membabitkan nilai projek berjumlah RM2.4 juta dengan pembabitan seramai 2,400 usahawan,” katanya.

Mohd Nasir berkata, antara punca usahawan Bumiputera tidak berjaya dalam perniagaan mereka ialah kerana masalah lokasi yang dipilih tidak strategik serta tidak berdisiplin.

Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah tertipu dengan tawaran yang dilakukan segelintir pihak yang cuba mengaut keuntungan dengan menggunakan nama PUNB.

“PUNB tidak pernah menggunakan ejen dan cawangan untuk mencari pelanggan dengan mengenakan bayaran tertentu kepada mereka bagi menyertai skim pinjaman Prosper,” katanya.

Sebelum ini, beliau mengatakan golongan siswazah yang berusia bawah 30 tahun perlu merebut peluang disediakan PUNB melalui skim Prosper melalui tiga skim yang ditawarkan termasuk skim untuk siswazah dengan bantuan kewangan antara RM5,000 hingga RM50,000 bagi memulakan perniagaan.

"Skim baru untuk pemborong diwujudkan bagi menggalakkan peluang perniagaan peringkat pemborongan, pengedaran dan pembekalan dengan pembiayaan sebanyak RM5 juta,” katanya.