Khamis, 18/07/2019

Kebolehan Usahawan Melayu Setanding Bangsa Lain (Berita Harian-Rencana, 3 Mei 2006)

Usaha berterusan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) membantu meningkatkan penyertaan dan pembabitan Bumiputera dalam bidang keusahawanan selaras Dasar Pembangunan Negara harus mendapat pujian. 

 

Seperti agensi lain, perbadanan itu juga sentiasa menyusun strategi melahirkan masyarakat perdagangan dan perindustrian Bumiputera yang dinamik, berdaya tahan dan progresif. Terbaru, PUNB meletakkan sasaran kira-kira 2,420 pelbagai bidang perniagaan baru untuk Bumiputera, khususnya Melayu dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) menerusi dana pembiayaan berjumlah RM820 juta. Tahun ini saja, dua skim pembiayaan baru diwujudkan iaitu Skim Pemborong Prosper dan Skim Prosper Siswazah membabitkan peruntukan RM350 dengan sasaran mewujudkan 1,250 perniagaan baru di dalam sektor peruncitan. Dalam pada itu, sejumlah RM200 juta lagi disediakan untuk skim Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Bumiputera dengan sasaran mewujudkan 70 perniagaan baru di dalam sektor pembuatan. Kita percaya usaha PUNB beroperasi sejak 1991 lalu itu dapat membantu lebih banyak usahawan Bumiputera menceburi pelbagai bidang baru seperti kedai serbaneka 24 jam, membuka klinik dan firma arkitek, bukan setakat perniagaan tradisional seperti membuka restoran. Menerusi Skim Prosper Siswazah, kita berharap akan lahir kira-kira 1,000 perniagaan baru yang diterajui graduan cekal dan berminda kelas pertama. 

Sebenarnya, peniaga Melayu tiada kekurangan. Mereka mempunyai kepandaian dan seperti bangsa lain. Jika mereka gagal selepas beberapa kali diberi peluang dan dibantu dengan pelbagai kemudahan termasuk wang, puncanya kerana mereka malas, tersilap haluan dan suka menggunakan jalan singkat, tanpa mempedulikan akibatnya. Apa diperlukan daripada peniaga Melayu ialah kerajinan, kawalan diri, disiplin dan kesabaran. Kecekapan dan kepintaran dalam perniagaan boleh diperoleh menerusi latihan dan pengalaman. Peniaga Melayu boleh berjaya jika mereka berusaha dan bukan setakat berpuas hati dengan apa yang ada. Untuk itu, mereka perlu bersemangat kental, ada motivasi dan jujur kepada diri sendiri selain mengurus perniagaan dengan baik dan elak melakukan penyelewengan. Pinjaman diperoleh mesti digunakan dengan cermat dan diurus secara tertib kerana wang dipinjam daripada institusi kewangan mesti dibayar balik. Apa yang penting, kawal nafsu dan jangan berbelanja besar untuk menghiasi pejabat dan membeli kereta mewah dengan niat untuk berlagak kononnya perniagaan mereka sudah berjaya.

Sifat tidak sabar dan tidak sanggup menunggu lama atau mahu cepat kaya, bukan mencerminkan sikap usahawan sejati. Kita tentu tidak mahu peniaga Melayu menjadi bahan jenaka bangsa lain apabila diberi lesen, menjualnya; diberi AP untuk import kenderaan, AP dijual; atau mendapat kontrak hanya untuk dijual. Sikap mengharap untung atas angin perlu dikikis. Mereka mesti bekerja keras, bukan merapatkan diri dengan orang berpengaruh dan berkuasa untuk mendapat sesuatu. Peniaga Melayu perlu menghayati pesanan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa untuk menjadikan Melayu sebagai bangsa global yang maju dalam pelbagai bidang, memerlukan resipi baru iaitu semangat juang yang kuat, mempunyai nilai murni seperti berilmu, beriman, rajin dan amanah.