Khamis, 25/04/2019

Persatuan Gesa Pantau Biaya PUNB (Berita Harian-Nasional, 3 Mei 2006)

Kuala Lumpur: Usaha Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan kepada Bumiputera perlu dipantau kerajaan bagi memastikan pembiayaannya disalurkan kepada golongan sasaran yang tepat.

Beberapa persatuan yang menyambut baik usaha PUNB itu berkata, mereka mahu PUNB berusaha memastikan pembiayaannya disalurkan kepada peniaga berpotensi dan menunjukkan prestasi yang baik dalam perniagaan masing-masing.

Naib Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Datuk Mohd Mohiyuddin Abdullah berkata, PUNB perlu membantu usahawan baru dalam perusahaan kecil dan sederhana (PK) kerana potensi bidang berkenaan yang besar.

Katanya, PUNB juga perlu memberi bimbingan dalam pengurusan kewangan jika mahu mewujudkan perniagaan baru untuk usahawan Bumiputera kerana kebanyakan mereka masih ketinggalan dalam bidang berkenaan.

“Perniagaan baru ingin diperkenalkan biarlah yang kurang persaingan dengan bukan Bumiputera. Saya juga mencadangkan supaya perniagaan baru yang mahu diperkenalkan tidak sukar untuk diusahakan usahawan Bumiputera,” katanya.

Kelmarin, Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Datuk Mohd Nasir Ahmad berkata pihaknya memohon RM820 juta daripada kerajaan untuk menjayakan pelbagai program bagi mewujudkan peluang perniagaan.

Katanya, melalui peruntukan itu, PUNB akan mewujudkan 2,420 perniagaan baru yang diterajui usahawan Bumiputera dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi membangunkan ekonomi golongan itu.

Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), Datuk Moehamed Izat Emir berkata, PUNB perlu membentangkan laporan mengenai program rancangan pembangunan mereka.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan pembiayaan sehingga RM820 juta yang dipohon oleh agensi berkenaan daripada kerajaan dalam tempoh RMK-9 disalurkan kepada kumpulan sasar.