Khamis, 25/04/2019

2,420 Perniagaan Diwujud - PUNB Mohon Dana Pembiay... (Berita Harian-Berita Utama, 2 Mei 2006)

Kuala Lumpur: Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) akan mewujudkan 2,420 perniagaan baru yang diterajui usahawan Bumiputera dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi membangunkan ekonomi golongan itu.

Ketua Eksekutif PUNB, Datuk Mohd Nasir Ahmad, berkata pihaknya memohon dana pembiayaan berjumlah RM820 juta daripada kerajaan untuk menjayakan pelbagai program bagi mewujudkan peluang perniagaan itu.

Katanya, usaha mewujudkan 2,420 usahawan Bumiputera itu akan dilaksanakan menerusi empat inisiatif yang dikendalikan PUNB iaitu Skim Pembangunan PKS Bumiputera, Skim Prosper, Skim Pemborong Prosper dan Skim Prosper Siswazah.

Beliau berkata, sebahagian besar daripada usahawan Bumiputera yang akan diwujudkan ialah menerusi Skim Prosper yang sedia ada dan Skim Prosper Siswazah serta Skim Pemborong Prosper yang baru dilancarkan.

“PUNB akan mewujudkan 1,250 usahawan Bumiputera dalam sektor peruncitan menerusi Skim Prosper yang diberi peruntukan terbesar iaitu RM350 juta,” katanya kepada Berita Harian dalam satu temu bual di sini.

Mohd Nasir berkata, Skim Pemborong Prosper akan diberi peruntukan berjumlah RM245 juta, Skim Prosper Siswazah (RM25 juta), dan Skim Pembangunan PKS Bumiputera (RM200 juta) sepanjang tempoh RMK-9.

Beliau berkata, PUNB menetapkan sasaran mewujudkan 70 usahawan baru menerusi Skim Pembangunan PKS Bumiputera manakala 100 pemborong baru dijangka wujud menerusi Skim Pemborong Prosper.

Katanya, Skim Pemborong Prosper membenarkan usahawan Bumiputera menubuhkan usaha sama dengan bukan Bumiputera dengan syarat ekuiti bukan Bumiputera dalam syarikat itu tidak melebihi 30 peratus.

Bagi Skim Prosper Siswazah, PUNB menjangka dapat melahirkan kira-kira 1,000 perniagaan baru yang diterajui lepasan pusat pengajian tinggi yang berminat menceburi bidang keusahawanan secara kecil-kecilan.

“Peruntukan bagi skim ini tidak banyak kerana jumlah pembiayaannya hanya di antara RM5,000 hingga RM50,000 setiap satu,” katanya.

Mohd Nasir berkata, dalam tempoh RMK-9, PUNB juga bercadang mewujudkan bidang perniagaan baru yang tidak banyak diteroka Bumiputera, termasuk kedai konsep seperti kedai serbaneka 24-jam dan kedai basikal.

Katanya, usaha mewujudkan cabang perniagaan baru itu penting memandangkan potensi pulangannya yang lumayan, selain belum ramai usahawan mengusahakan perniagaan seperti itu.

“Kita nampak ada potensi dalam perniagaan kedai konsep seperti ini berbanding perniagaan tradisional lain seperti restoran yang mempunyai persaingan yang sengit,” katanya.

Beliau berkata, permohonan yang diterima bagi menjalankan perniagaan dalam sektor perkhidmatan seperti klinik kesihatan, klinik gigi dan perkhidmatan profesional lain seperti firma arkitek juga semakin meningkat.

PUNB ditubuhkan pada 17 Julai 1991 bagi meningkatkan pembabitan Bumiputera dalam bidang keusahawanan selaras Dasar Pembangunan Negara (DPN) untuk melahirkan masyarakat perdagangan dan perindustrian Bumiputera.