Khamis, 18/07/2019

Kadar Faedah Kekal Stabil (Berita Harian-Ekonomi, 18 Februari 2006)

Kadar faedah di Malaysia dijangka kekal stabil sehingga tahun depan, kerana jika berlaku pelarasan sekalipun, ia adalah kecil dan tidak akan memberi kesan kepada ekonomi negara, kata Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Katanya, beliau tidak melihat peningkatan berterusan dalam kadar faedah seperti di Amerika Syarikat akan turut dialami negara ini.

Beliau menjelaskan, walaupun buat masa ini tiada tekanan bagi kerajaan untuk menaikkan kadar faedah, ia akan terus memantau kadar inflasi.

“Kita perlu lihat angka inflasi yang akan diumumkan, tetapi ketika ini tiada tekanan (untuk menaikkan kadar faedah),” katanya selepas pelancaran Seminar Pembiayaan Usahawan Wanita anjuran Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), di Kuala Lumpur, semalam.

Bank Negara Malaysia mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetarinya semalam.

Bagaimanapun, keputusan mesyuarat itu akan hanya diumumkan pada 22 Februari depan, bersama dengan pengumuman mengenai prestasi ekonomi negara bagi suku keempat dan seluruh tahun lalu.

Ramai ahli ekonomi sebelum ini menjangka bank pusat itu akan menaikkan kadar faedah antara 0.25-3.0 peratus pada mesyuarat itu selepas memutuskan untuk mengekalkannya pada paras semasa ketika mesyuarat dasar monetari bulan lalu.

Bank pusat menaikkan kadar faedah sebanyak 0.3 peratus kepada tiga peratus November lalu, iaitu kenaikan pertamanya sejak 1998.

Kadar inflasi di Malaysia pada Disember tahun lalu ialah pada kadar 3.5 peratus.

Sementara itu, Nor Mohamed dalam ucapan perasmiannya berkata, usahawan wanita seharusnya menggunakan sepenuhnya peluang disediakan kerajaan terutamanya bagi sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi membina kapasiti ke arah mengukuh dan membesarkan perniagaan.

Beliau berkata, antara kemudahan pembiayaan yang disediakan kerajaan ialah Projek Usahawan Bumiputra Dalam Bidang Peruncitan (Prosper) kendalian Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) yang menyaksikan sejumlah 38 peratus peminjamnya ialah wanita.

“Sementara menerusi Amanah Ikhtiar Wanita (AIM), hampir seratus peratus daripada 148,000 peminjamnya ialah usahawan wanita dengan jumlah yang dikeluarkan sejak penubuhannya pada 1986 sudah mencapai RM1.6 bilion,” katanya.

Nor Mohamed berkata, walaupun wanita di negara ini sudah mencapai kemajuan pesat dalam ekonomi dan sosial negara, kerajaan sedar masih banyak ruang untuk meningkatkan penyertaan mereka dalam beberapa sektor utama ekonomi negara.

Beliau berkata, wanita mewakili 37 peratus daripada tenaga kerja di negara ini, menjadikan mereka sumber ekonomi penting yang boleh menyumbang kepada tercapainya matlamat pembangunan negara.

“Dalam tempoh lima tahun lalu, peratusan wanita yang bekerja sebagai operator mesin berkurang kepada 11.6 peratus berbanding 15.9 peratus sebelum ini manakala peratusan wanita yang bekerja dalam sektor perkhidmatan meningkat daripada 13.3 peratus kepada 17.9 peratus sementara peringkat pegawai atasan dan pengurusan, ia meningkat kepada 5.6 peratus,” katanya.