Khamis, 25/04/2019

Perubahan kadar faedah kecil (Berita Harian-Ekonomi, 15 Februari 2006)

Sebarang perubahan dalam kadar faedah tahun ini adalah kecil berikutan ekonomi kini berada pada landasan stabil, kata Menteri Kewangan kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Beliau berkata, perubahan dalam kadar faedah mungkin kecil tetapi dalam aspek ekonomi yang besar, peningkatan perubahan itu tidak akan menjadi faktor besar.

“Stabil (ekonomi) tidak bermakna ia (kadar faedah) tidak akan pergi lebih tinggi atau turun lebih rendah. Stabil (ekonomi) bermakna, ia (kadar faedah) tidak akan menjadi tidak menentu sewenang-wenangnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup seminar Jaringan Usahawan Kebangsaan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) di sini hari ini.

Nor Mohamed diminta mengulas laporan Citigroup yang menjangka polisi semalaman meningkat 0.75 peratus menjelang akhir tahun ini.

Citigroup juga berkata, ringgit dijangka mengukuh kepada 3.69 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Nor Mohamed berkata, kerajaan tidak pernah menetapkan satu ramalan bagi kenaikan kadar faedah dan sebarang perubahan dalam kadar faedah bergantung kepada keadaan semasa ekonomi global.

Apabila ditanya sama ada kenaikan nilai ringgit akan menjejaskan eksport, katanya: “Tidak. Pada tahap sekarang, ia tidak menjejaskan dengan buruk eksport.”

Sehingga petang semalam ringgit diniagakan lebih kukuh berbanding dolar pada 3.7208/7218 berbanding 3.7235/7245 pada penutup kelmarin. – Bernama