Khamis, 18/07/2019

Skim Usahawan Borong PUNB RM40 Juta (Utusan Malaysia-Ekonomi, 15 Februari 2006)

Kuala Lumpur 14 Feb. - Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB) hari ini melancarkan skim usahawan borong dengan jumlah agihan dana sebanyak RM40 juta untuk tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd. Nasir Ahmad berkata, skim baru itu diperkenalkan atas permintaan kerajaan untuk meningkatkan bilangan para pemborong Bumiputera.

Menurut beliau, dana berkenaan adalah sebahagian peruntukan kerajaan berjumlah RM125 juta yang diperuntukkan kepada PUNB, bagi tahun 2006.

``PUNB sebelum ini banyak melahirkan peruncit sedangkan pada masa masa mereka perlu mendapatkan bekalan daripada para pemborong.

``Melihat kurangnya pembabitan Bumiputera sebagai pemborong maka kerajaan mahu PUNB melaksanakan skim baru ini,'' katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis Jaringan Usahawan Nasional PUNB di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Pengerusi PUNB, Tan Sri Abu Bakar Mohd. Noor.

Menurut beliau, skim itu terbuka kepada semua Bumiputera yang berminat untuk menyertai bidang pemborongan.

Bagaimanapun, sekiranya perniagaan itu dijalankan secara perkongsian, pegangan bukan Bumiputera tidak boleh melebihi 30 peratus.

Mohd. Nasir berkata, peruntukan dana skim baru itu dijangka hanya mampu membiayai kira-kira 15 orang peniaga borong sahaja dengan jumlah agihan pembiayaan antara RM250,000 dan RM5 juta bagi seorang pemohon.

Beliau juga berkata, para pemohon bebas untuk menjalankan perniagaan masing-masing, sama ada menjadi pemborong barang-barang runcit, kereta atau sebagainya.

Ditanya mengenai baki dana yang diperoleh PUNB, Mohd. Nasir berkata, pihaknya mendapat peruntukan sebanyak RM30 juta untuk membiayai program Perusahaan Kecil dan Sederhana, RM50 juta untuk Projek Usahawan Bumiputera Dalam Bidang Peruncitan (PROSPER) dan RM5 juta lagi untuk PROSPER_Siswazah.

Katanya, sejak lima tahun lalu, PUNB menerima 3,000 permohonan untuk mendapatkan skim PROSPER dan daripada jumlah itu hanya 902 diluluskan melibatkan kos projek RM38 juta.