Khamis, 25/04/2019

RM40 juta Biaya Pemborong Bumiputera (Berita Harian-Ekonomi, 15 Februari 2006)

Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) mewujudkan satu skim pinjaman baru dengan peruntukan RM40 juta khusus untuk membiayai Bumiputera yang mahu menceburi perniagaan pemborongan.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Mohd Nasir Ahmad, berkata pinjaman minimum di bawah skim itu adalah RM250,000 dan maksimum RM5 juta.

Beliau berkata, ia turut dibuka kepada syarikat pemborongan usaha sama antara Bumiputera dan bukan Bumiputera.

“Bagaimanapun, pegangan ekuiti rakan kongsi bukan Bumiputera dalam syarikat berkenaan mestilah tidak melebihi 30 peratus,” katanya.

Mohd Nasir berkata, pelancaran skim pinjaman khusus untuk sektor pemborongan itu bertujuan meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam perniagaan pemborongan yang ketika ini dikuasai bukan Bumiputera.

“Menerusi skim ini, PUNB mensasarkan untuk melahirkan 15 usahawan pemborongan Bumiputera tahun ini,” katanya selepas pelancaran Majlis Jaringan Usahawan Nasional PUNB 2006 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, semalam.

Seminar perniagaan bertemakan Mengurus Kos Ke Arah Perniagaan Dinamik itu dirasmikan Pengerusi PUNB, Tan Sri Mohd Abu Bakar Mohd Noor. Turut hadir Pengarah PUNB, Datuk Burhanudin Ahmad Tajudin.

Mohd Nasir berkata, peruntukan dana pinjaman bagi skim pemborongan itu daripada peruntukan keseluruhan RM125 juta yang dimohon PUNB daripada Kementerian Kewangan untuk disalurkan kepada usahawan Bumiputera sepanjang tahun ini.

Katanya, selain skim pinjaman khusus untuk sektor pemborongan itu, RM30 juta daripada jumlah peruntukan itu untuk pinjaman usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), RM50 juta untuk skim usahawan dalam bidang peruncitan atau Prosper manakala RM5 juta lagi untuk skim Prosper siswazah.

“Skim Prosper siswazah juga adalah skim pembiayaan baru yang dilancarkan tahun ini,” katanya.

Mengenai Prosper, Mohd Nasir berkata, sejak dilancarkan lima tahun lalu, PUNB menerima 3,000 permohonan bagi mendapatkan pembiayaan di bawah skim Prosper dan hanya 902 cadangan diluluskan membabitkan pembiayaan RM238 juta.

Oleh Azli Ayob

Sementara itu, Mohd Abu Bakar, berkata sejak penubuhannya pada 1991, PUNB membantu membangunkan 98 syarikat Bumiputera dalam sektor PKS dan mewujudkan 360 usahawan yang membuat pelaburan bernilai RM350 juta.

“Setakat ini, ada 12 syarikat pelaburan PUNB dalam sektor PKS yang berjaya dengan cemerlang dan membayar balik semua pinjaman daripada Skim Keusahawanan PUNB dan dua daripadanya sudah disenaraikan di Bursa Malaysia,” katanya.