Khamis, 25/04/2019

Mastura Berazam Tambah Rangkaian Kedai Amethyst (Nadi Biz-Berita Minggu, 4 Disember 2005)

Ramai yang berpendapat jika mahu berjaya dalam sesuatu perniagaan, seseorang itu mesti mempunyai serba sedikit pengalaman dalam bidang yang mahu diceburi.

Bagaimanapun, ini dibuktikan sebaliknya oleh Mastura Mohammed Lazim.

Walaupun tidak berpengalaman langsung dalam bidang pencahayaan dan lampu, beliau berjaya membangunkan syarikatnya, Amethyst Lights & Deco Sdn Bhd sebagai antara syarikat lampu hiasan dikenali, terutama di Lembah Klang.

“Pengalaman yang ada ini, semuanya saya raih daripada pembacaan, pengamatan dan daripada operasi seharian,” kata Mastura ketika ditemui baru-baru ini.

Perniagaan itu bukan yang pertama baginya. Beliau mula meneroka bidang perniagaan pada 1996 dengan menjaja pakaian kanak-kanak dari pejabat ke pejabat.

Pada 1998, Mastura yang hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia, melangkah setapak lagi dengan membuka kaunter minyak wangi di sebuah pasar raya di USJ, Subang Jaya.

Perniagaan yang dijalankan dengan seorang rakan kongsi itu bagaimanapun hanya bertahan selama setahun, sebelum ditamatkan kerana sebab peribadi.

Pada 2002 beliau memberanikan diri meneroka perniagaan lampu hiasan menerusi cadangan seorang rakannya yang yakin bidang berkenaan berpotensi berikutan perubahan gaya hidup masyarakat negara ini.

Dengan sokongan pembiayaan daripada Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) dan Malayan Banking Bhd (Maybank), beliau memulakan perniagaannya di Lanai, Presinct 10 Putrajaya.

Sejak itu beliau tidak menoleh ke belakang. Kini beliau bukan hanya mengendalikan kedainya, malah menjadi pembekal tunggal kepada tujuh kedai lampu hiasan, termasuk di Senawang dan Kota Bharu.

Semua kedai itu menggunakan nama yang sama, iaitu Amethyst.

Untuk bekalan, Mastura mendapatkannya dari China, Taiwan, Turki, Republik Chezk dan Britain, Taiwan dengan jenama yang mendapat sambutan termasuk Preciosa dan Bohemia kerana rekaannya yang moden dan klasik manakala harga pula dari RM10 hingga RM100,000.

Amethyst, yang sebelum ini dikenali sebagai Nikkay Lighting & Deco Centre (PJ) Sdn Bhd, penerima pembiayaan skim Projek Usahawan Bumiputera Dalam Bidang Peruncitan (Prosper) yang dikendalikan PUNB.

Ketika menceritakan pembabitannya dalam perniagaan, Mastura tidak malu mendedahkan bahawa beliau tidak mempunyai modal besar dan terpaksa bergantung kepada pinjaman.

Bagaimanapun, katanya meminjam ada kalanya mempunyai kebaikan kerana membuatkan seseorang itu lebih tekun dalam perniagaan.

“Pada saya apabila sudah meminjam, ia perlu dibayar balik, justeru ia menjadi penggerak untuk berusaha keras bagi memastikan saya menunaikan tanggungjawab itu,” katanya.

Sebagaimana peniaga berjaya lain, beliau juga mengakui tidak dapat lari daripada berdepan cabaran sepanjang tempoh dua tahun pertama memulakan perniagaan.

Cabaran itu dapat dilaluinya kerana sentiasa memastikan aliran tunai sentiasa terkawal.

“Sebelum memulakan perniagaan saya beritahu anak supaya bersedia dengan perubahan gaya hidup.

“Jika dulu dengan gaji suami sebagai pengurus cawangan sebuah bank, kehidupan kami agak mewah, kini terpaksa berbelanja secara berhemah.

“Daripada kereta besar, kami terpaksa menggunakan kereta kecil untuk mendapatkan tunai.

“Tahun pertama berniaga, saya takut membawa anak keluar bersiar kerana bimbang permintaan mereka tidak dapat ditunaikan,” katanya yang dikurniakan lima orang cahaya mata.

Suami beliau terpaksa berhenti kerja apabila bank tempat beliau bekerja bergabung.

Cabaran yang dihadapi dijadikan pengajaran untuk lebih cekal pada masa depan.

Mastura yang kini berusia 40 tahun yakin, selepas melepasi cabaran dalam tempoh dua tahun pertama itu, beliau kini bersedia menempuh apa juga cabaran mendatang.

Beliau juga bersyukur kerana tidak pernah kerugian besar akibat ditipu sepanjang mengendalikan perniagaannya walaupun ada kala terpaksa menyerahkan wang kepada orang ketiga yang tidak pernah beliau kenal sebelum ini.

Dalam mengendalikan perniagaannya, beliau berpegang kepada nasihat yang diberikan Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah singgah di kedainya pada hari pertama pembukaannya.

“Saya bertuah kerana pada hari pertama pembukaan kedai saya di Presinct 10 selepas dirasmikan oleh Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Tun Dr Mahathir sempat singgah dan menasihatkan saya supaya sentiasa mendapatkan bekalan daripada pengilang untuk memaksimumkan keuntungan,” katanya.

Beliau juga sentiasa memastikan menunaikan tanggungjawab membayar zakat perniagaan.

“Sebagai orang Islam membayar zakat adalah satu kewajipan. Jika kita menunaikan tanggungjawab itu, Allah akan murahkan lagi rezeki kita dan hidup juga lebih berkat,” katanya.

Selain menjual lampu hiasan, Amethyst turut membekalkan alat penghawa dingin serta khidmat rekaan dalaman.

Mastura berkata, bagi menyokong pertumbuhan perniagaannya, beliau merancang menambah bilangan rangkaian kedai Amethyst merangkumi seluruh negara.

Modal bukan masalah utama kerana syarikatnya sudah mendapat kelulusan daripada PUNB untuk pinjaman sebanyak RM1 juta berikutan keyakinan agensi itu terhadap potensi perniagaan yang dibangunkan beliau.