Khamis, 18/07/2019

PUNB Sedia Pinjaman Siswazah RM5juta (Berita Harian, 14 November 2005

Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) memperuntukkan RM5 juta bagi Skim PROSPER Siswazah yang menyediakan peluang kepada siswazah muda, terutamanya yang menganggur mendapatkan pinjaman bagi menceburi bidang perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Nasir Ahmad, berkata menerusi skim itu PUNB menawarkan pakej pinjaman antara RM5,000 hingga RM50,000 dengan tempoh pembayaran balik antara tiga hingga tujuh tahun.

Skim PROSPER Siswazah adalah lanjutan daripada skim Projek Usahawan Bumiputera Dalam Bidang Peruncitan (PROSPER) yang dikendalikan PUNB.

Skim itu terbuka kepada Bumiputera berusia di bawah 30 tahun yang memiliki sekurang-kurangnya diploma daripada institusi pengajian tinggi yang diiktiraf kerajaan.

Mohd Nasir berkata, syarat permohonan bagi mendapatkan pinjaman itu dipermudahkan supaya tidak membebankan siswazah mendapatkan pinjaman.

“Skim Prosper Siswazah menyediakan kemahiran dan pengetahuan kepada siswazah Bumiputera untuk menceburi bidang perniagaan, khususnya perniagaan runcit dan pengedaran” katanyadi Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mohd Nasir berkata, kemudahan yang diberikan kerajaan itu bagi memberi peluang siswazah Bumiputera menceburi bidang perniagaan secara kecil-kecilan sebelum berniaga secara lebih besar.

“Kerajaan sudah mengambil kira kekurangan pengalaman dan kewangan siswazah untuk berniaga.

“Program ini memberi latihan asas keusahawanan termasuk pembentukan sahsiah murni.

“Latihan sambil kerja dengan perniagaan tertentu juga diuruskan jika perlu, sebelum memberi bantuan kewangan,” katanya.

Skim itu menyediakan pinjaman berlandaskan prinsip Qard Al-Hassan dengan peminjam perlu memulangkan semua wang pokok secara berjadual tanpa dikenakan sebarang faedah.

Bagaimanapun, bayaran untuk perkhidmatan pemantauan akan dikenakan, termasuk peminjam diberikan bimbingan dan khidmat nasihat sehingga pembiayaan diselesaikan.

Antara skop perniagaan dibiayai ialah perniagaan runcit, pengedaran, jualan terus dan stokis, teknologi maklumat dan komunikasi, perkhidmatan profesional, industri desa berasaskan pertanian, perkhidmatan dari rumah serta pendidikan.

Mohd Nasir berkata, pemohon perlu menyertai kursus perniagaan anjuran PUNB selama seminggu.