Khamis, 18/07/2019

Bank Enggan Tolong Saya (Harian Metro, 2 November 2005)

Kesukaran mendapatkan pinjaman bank untuk membesarkan perniagaan, tidak melemahkan harapan pemilik Cemara Pesona Sdn Bhd (Cemara Pesona), Lena Rahman untuk membangunkan bisnesnya.

Selepas kecewa dengan sikap bank yang enggan membantu usahawan kecil, Lena cuba memohon skim Projek Usahawan Bumiputera Dalam Bidang Peruncitan (Prosper) di bawah Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB).

Apa yang menggembirakannya, katanya, selepas satu pertemuan saja, permohonan mendapatkan pembiayaan berjumlah RM150,000 diluluskan.

Lena yang membuka kedai barangan bayi dan kanak-kanak Mom’s Care kemudian menggunakan wang yang diperoleh dari PUNB untuk berpindah dari USJ, Taipan, Subang ke cawangan barunya di Kompleks Alamanda di Putrajaya.

Menceritakan pengalamannya, Lena berkata, beliau menghantar permohonan pinjaman kepada 10 bank tetapi hanya satu saja yang memberi jawapan, namun mereka menawarkan pembiayaan lebih rendah daripada yang dimohonnya.

“Dengan jumlah yang ditawarkan, ia samalah seperti memberi tahu permohonan saya gagal tetapi mereka tidak memberi jawapan jelas sebaliknya menetapkan syarat jika saya menerima jumlah itu, saya perlu mencagarkan rumah bernilai berkali ganda daripada jumlah pinjaman.

“Kesukaran dan sikap remeh-temeh serta tidak jujur bank komersial membuatkan ramai usahawan kecil seperti saya kecewa, tetapi nasib baik saya tidak patah semangat sebaliknya terus mencuba dengan PUNB pula sehingga berjaya mendapat pinjaman ini,” katanya dalam temubual dengan Bisnes Metro di Putrajaya, baru-baru ini.

Katanya, PROSPER yang dikendalikan PUNB membantu usahawan yang benar-benar memerlukan bantuan membesarkan perniagaan, yang mana kebanyakannya tidak mendapat perhatian daripada kalangan bank komersial yang meletakkan pelbagai syarat.

“Saya menggunakan wang yang diperoleh menerusi skim Qard Al- Hassan untuk berpindah dari Sri Hartamas ke Alamanda kerana potensi jualan bagi barangan bayi didapati lebih menguntungkan jika terletak di kompleks beli-belah.

“Pinjaman ini adalah yang kedua kali diperoleh daripada PUNB dan ia digunakan untuk menampung kos baik pulih kedai selain membeli stok baru,” katanya.

Lena menjadi antara peserta skim Prosper pada 2001 dan ketika itu, beliau ditawarkan oleh PUNB jika memerlukan pembiayaan bagi membesarkan operasi.

Ketika itu, kedai Mom’s Care Lena beroperasi di Sri Hartamas dan selepas mendapat pinjaman RM200,000, beliau membuka satu lagi cawangan di USJ Taipan.

Namun, perniagaan di Sri Hartamas dan USJ Taipan kurang menguntungkan kerana lokasinya yang kurang sesuai dan selepas mendapat pembiayaan PUNB, beliau mengambil keputusan menutup kedua-dua cawangan dan menumpukan perhatian di Putrajaya.

“Selepas dibuka pada Julai 2004, akhirnya kedai Mom’s Care di Putrajaya mula mendapat sambutan dan menyaksikan jualan lebih baik berbanding cawangan terdahulu dengan purata jualan kira-kira RM50,000 sebulan,” katanya.

Menurutnya, antara sasaran pelanggan Mom’s Care adalah golongan berpendapatan sederhana dan mewah manakala produknya pula diimport dari luar negara.

Malah, kebanyakan pelanggannya terdiri daripada mereka yang tinggal di luar Putrajaya seperti Puchong, Subang, Bangi dan Sepang.

“Industri barangan bayi sebenarnya sentiasa berkembang kerana permintaan ke atasnya sentiasa ada dan berterusan. Ini kerana pelanggan saya bukan terdiri daripada ibu bapa, malah ada yang sudah bergelar nenek, datuk, abang atau adik kepada seseorang,” katanya.

“Secara tidak langsung, senario ini dilihat dapat membantu perkembangan kedai. Justeru, Mom’s Care mengambil pendekatan menjual produk bayi yang pelbagai, iaitu bukan saja baju tetapi peralatan bayi dan alat bantuan pembesaran,”