Khamis, 25/04/2019

Amethyst Cari Rakan Kongsi (Harian Metro, 5 November 2005)

Amethyst Light & Deco Sdn Bhd (Amethyst), pemborong lampu hiasan import yang berhasrat membuka 10 cawangan menjelang akhir 2006, sedang mencari bakal rakan kongsi yang berminat membuka cawangannya di seluruh negara.

Pemilik dan Pengarah Amethyst, Fuad Takiman berkata rakan kongsi untuk mengusahakan cawangan diperlukan bagi membolehkan syarikat meluaskan operasi perniagaan lampu hiasan sehingga mencapai sasaran sekurang-kurangnya sebuah cawangan di setiap negeri.

“Bakal rakan kongsi perlu memiliki tiga kriteria iaitu modal 10 peratus dari kos keseluruhan perniagaan, minat berniaga dan jika boleh mempunyai latar belakang pendidikan atau pengalaman dalam bidang elektrikal,” katanya ketika ditemui Bisnes Metro di Kelana Jaya, baru-baru ini.

Fuad berkata, rancangan membesarkan perniagaan disebabkan syarikatnya baru mendapat bantuan tambahan dari Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) sebanyak RM600,000.

Ia adalah bantuan kali kedua diterimanya dalam skim Projek Usahawan Bumiputera Dalam Bidang Peruncitan (PROSPER) melalui PUNB selepas yang pertama pada 2001.

Justeru, beliau bercadang mengimport lebih banyak lampu dan membekalkannya ke cawangan Amethyst di seluruh negara.

Selain cawangan utama di Kelana Jaya, Amethyst mempunyai enam cawangan lain iaitu di Klang, Bangi, Taman Melawati, Senawang dan Kota Damansara dan Kota Bharu, Kelantan yang baru dibuka pertengahan September lalu.

Orang ramai yang berminat menjadi rakan kongsi untuk mengusahakan cawangan boleh menghubungi Fuad di talian 012-2837937 atau datang sendiri ke cawangan utama Amethyst di Blok E-111, Kelana Park View, Jln SS 6/2, Kelana Jaya.

Fuad berkata, kebanyakan lampu diimport dari Eropah, Turki, China dan Taiwan. Antara yang mendapat sambutan jenama Preciosa dan Bohemia kerana rekaannya yang moden dan klasik manakala harga pula dari RM10 hingga RM100,000.

Katanya, syarikat yang ditubuhkan pada 2002, pada mulanya dikenali sebagai Nikkay Light & Deco dan apabila operasinya bertambah besar, namanya ditukar kepada Amethyst.

Menceritakan sejarah awalnya, Fuad yang sebelum ini adalah pegawai bank mula menceburkan diri dalam bidang itu selepas berhenti kerja dan membuka kedai lampu di Putrajaya.

Selepas menemui lokasi sesuai, beliau memohon pembiayaan dari skim PROSPER pada November 2001. Ketika itu, pinjaman yang diterimanya sebanyak RM100,000 dari PUNB dan bank RM210,000 manakala modalnya sendiri berjumlah RM40,000.

“Pada mulanya saya menjangkakan syarikat hanya akan pulang modal selepas tiga tahun beroperasi, namun dalam masa tidak sampai tiga tahun, kami sudah mula mencatatkan keuntungan.

“Pada tahun pertama, jualan dicatatkan Amethyst termasuk bilik pameran utama dan cawangan kami adalah RM300,000 dan kemudian meningkat kepada RM450, 000 pada tahun kedua diikuti tahun ketiga berjumlah RM700,000,” katanya