Khamis, 18/07/2019

Little Haven Peka Fesyen Kanak-Kanak (Berita Harian, 19 September 2011)

Perniagaan butik Little Haven sebenarnya diilhamkan daripada sebuah bandar indah di Madison, Wisconsin di Amerika Syarikat (AS), kata Pengarah Urusan Cemara Suria Sdn Bhd, Sharmi Aryanti Shahrani.

Jelasnya, pengalaman menetap hampir lima tahun di bandar itu banyak memberi inspirasi kepadanya untuk menjalankan perniagaan barangan serta kelengkapan bayi dan kanak-kanak.

Bandar Madison, katanya, amat popular dengan pelbagai kedai konsep yang menjual pelbagai barangan kanak-kanak yang comel dan eksklusif, membuat saya tertarik menjalankan perniagaan itu, kata Sharmi Aryanti di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Baginya, walaupun menjalankan perniagaan seperti itu nampak mudah namun hakikatnya beliau perlu sentiasa peka dengan perkembangan fesyen dan keperluan kanak-kanak bagi memastikan Little Haven terus releven dan menjadi pilihan pelanggan.

Tambahan pula, beliau berasal daripada keluarga yang rata-rata adalah golongan pendidik dan tidak pernah pula terdedah kepada dunia perniagaan.

Beliau menyifatkan langkah yang diambil itu perlu berlandaskan kepada kekuatan diri selain tidak tersilap langkah kelak.

Walaupun Sharmi Aryanti, 35, masih dianggap masih baru dalam dunia perniagaan namun bekas pegawai di sebuah bank AS di Milwaukee Wisconsin itu setakat ini telah membuka dua cawangan Little Haven, masing-masing di The Curve, Petaling Jaya (2005) dan SACC Mall, Shah Alam (2009).

Beliau turut mempunyai perancangan mengembangkan cawangannya pada masa depan ke seluruh negara termasuk memperkenalkan sistem francais atau program rakan niaga kepada usahawan yang berpotensi.

"Selepas peristiwa serangan 11 September 2001 di AS, saya dan suami, Ahmad Soalahuddin Al Thani Ahmad Termizi, merancang memulakan kehidupan lebih baik di tanah air sendiri.

Pada masa itu saya memilih untuk membuka butik Mother Hood yang menjual kelengkapan ibu mengandung di Hartamas, pada 2003.

"Perniagaan yang saya jalankan selama hampir tiga tahun itu memang baik, tetapi saya tidak dapat menjalinkan hubungan yang lama dengan pelanggan, kerana sesudah bersalin mereka sudah tidak datang kembali. Kalau berjumpa pun mungkin beberapa tahun selepas itu.

"Disebabkan itu, saya memulakan perniagaan Little Haven pada 2005 dengan cawangan sulung kami di The Curve dengan modal permulaan kira-kira RM100,000. Bagaimanapun saya turut menerima bantuan pinjaman daripada Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB)," katanya.

Produk utama Little Haven adalah pakaian kanak-kanak yang khusus bagi majlis makan malam dan perkahwinan untuk yang baru lahir hingga berusia sembilan tahun selain kelengkapan tidur buatan tangan seperti selimut, bantal, cadar dan set kelengkapan bilik tidur. Syarikatnya turut menjual produk dan kelengkapan untuk ibu hamil dan pelbagai aksesori kanak-kanak yang berjenama Emma Rose.

Sharmi berkata, syarikatnya turut membuka studio jahitan dan rekaan di Seksyen 7, Shah Alam yang mengambil pekerja tempatan dan pelajar universiti kreatif bagi menghasilkan pelbagai rekaan serta idea kreatif untuk Little Haven.

Malah, katanya Little Haven turut bekerjasama dengan pengilang tempatan dan luar negara bagi menghasilkan pelbagai produk berlainan bagi cawangannya. Little Haven turut mengimport produk antaranya dari AS, Belgium dan Indonesia.

"Kalau diikutkan, modal perniagaan seperti ini sekurang-kurangnya memerlukan antara RM250,000 hingga RM300,000 tetapi banyak kos lain yang boleh saya jimatkan kerana Little Haven menghasil dan mengeluarkan produk sendiri. Malah, saya boleh menentukan produk apa yang saya mahukan, kerana saya boleh menjahit dan mereka sendiri," katanya.

Beliau tidak menafikan berdepan persaingan hebat daripada kedai barangan kanak-kanak jenama antarabangsa dan bukan Bumiputera, namun menganggap keadaan itu sebagai pendorong untuk bergerak lebih jauh.

Selain memelihara hubungan baik dengan pembekal dan pelanggan, katanya seseorang usahawan itu perlu mempunyai identiti sendiri, penjenamaan dan sentiasa mengambil berat kualiti produk bagi menjadikannya terus kompetitif di pasaran.

"Bagi mana-mana perniagaan pun, kita mungkin akan mudah putus asa dan bosan sekiranya perniagaan yang dijalankan berdepan masalah atau tidak menunjukkan sebarang peningkatan.

"Bagaimanapun, bagi saya persaingan adalah sangat baik kerana ia menjadikan kita lebih berinovasi dan sentiasa bersedia berdepan dengan cabaran di pasaran. Di Little Haven, setiap tiga bulan kami akan memperkenalkan produk dan rekaan baru bagi memastikan pelanggan kami tidak jemu," katanya.

Menurut Sharmi, syarikatnya berupaya menghasilkan produk dalam kuantiti yang banyak tetapi sebolehnya-bolehnya cuba mengehadkan setiap rekaan yang dihasilkan bagi memastikan nilai eksklusifnya.

"Saya suka bekerjasama dengan pereka atau artis tempatan khususnya ibu yang tidak bekerja yang boleh menghasilkan produk dan kelengkapan bayi serta kanak-kanak yang menarik khususnya kelengkapan bilik tidur.

"Segmen pasaran saya lebih tertumpu kepada pelanggan yang berpendapatan sederhana ke atas, kerana produk kami dijual pada harga berpatutan, kualiti terjamin selain menawarkan pelbagai pilihan dan jenama kepada pelanggan," katanya.

Dalam pada itu, katanya syarikat turut tampil dalam talian menerusi www.littlehavenboutique.com yang akan mengemaskini maklumat terkini mengenai rangkaian produk terbaru Little Haven.

Menjelaskan mengenai sumbangannya kepada masyarakat, beliau juga telah dipilih sebagai mentor atau penyedia konsep bagi Program Siswazah Prosper PUNB, yang bertindak secara sukarela melatih usahawan muda yang berminat dalam industri sama menerusi perkongsian pengalaman dan mengambil mereka bekerja secara perantis.

PROFIL

SHARMI ARYANTI SHAHRANI

* Asal: Petaling Jaya, Selangor

* Syarikat: Cemara Suria Sdn Bhd

* Jawatan: Pengarah Urusan dan Pereka bagi Little Haven

* Pendidikan: Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kewangan, Pelaburan dan Perbankan) dari University of Wisconsin, Madison, AS;

* Diploma Pentadbiran Perniagaan, ITM Shah Alam

* Hobi: Seni & Kraf, Memasak dan Membaca

* Status: Berkahwin & mempunyai 4 orang anak.

* Aktiviti: Pernah menjadi speaker Program Jaringan Usahawan Peringkat Nasional (Penjenamaan dan Penyumberan), Speaker Natural Parenting and Babywearing 2010 anjuran Kumpulan Karangkraf (majalah Pa & Ma)