Jumaat, 19/07/2019

PUNB Cadang Salur Biaya RM230j (Berita Harian, 2 September 2011)

Headline: PUNB cadang salur biaya RM230j

Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) bercadang menyalurkan pembiayaan sehingga RM230 juta kepada usahawan Bumiputera tahun depan dengan sebahagian besar dana itu diperuntukkan bagi meningkatkan daya saing usahawan dalam sektor pemborongan dan peruncitan.

Ketua Eksekutifnya, Dzulkifli Fadzilah, berkata ia selaras dengan matlamat PUNB membangunkan lebih ramai usahawan Bumiputera dalam perniagaan strategik dan berpotensi khususnya bagi bidang industri dan komersil, yang mana ketika ini pembabitan mereka dalam bidang itu masih lagi kecil.

Setakat ini, katanya PUNB telah menyalurkan pembiayaan kira-kira RM1.15 bilion kepada lebih 5,000 usahawan membabitkan 3,000 perniagaan, dengan sektor peruncitan dan pemborongan mewakili hampir 60 peratus daripada jumlah pembiayaan berkenaan.

"PUNB sememangnya memperuntukkan dana yang lebih besar bagi meningkatkan penyertaan usahawan Bumiputera dalam sektor peruncitan dan pemborongan yang saling berhubung kait, terutama dalam membantu memperluaskan rantaian bekalan perniagaan mereka," katanya yang ditemui Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kini, dana pembiayaan PUNB disalurkan menerusi empat skim yang ditawarkannya iaitu Skim PROSPER Runcit, Skim Pemborong PROSPER, Skim Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta Skim PROSPER Siswazah, dengan tawaran pembiayaan dari RM5,000 sehingga RM5 juta, bergantung kepada skim yang dipohon.

Beliau berkata, PUNB setakat ini sudah menyalurkan pembiayaan kira-kira RM70 juta daripada RM135 juta yang diperuntukkan tahun ini, dengan sektor pemborongan dan peruncit menguasai kira-kira 60 peratus daripada pembiayaan berkenaan.

"Setakat ini, kami telah membantu kira-kira 500 perniagaan yang membabitkan pengeluaran purata pembiayaan kira-kira RM10 juta sebulan," katanya PUNB mensasarkan bayaran balik pembiayaan sebanyak RM100 juta setahun bagi kesemua skim yang ditawarkan.

Mengenai pembelian hartanah untuk disewakan kepada usahawan, Dzulkifli berkata, PUNB merancang membeli 45 unit premis terdiri daripada lot perniagaan dan kedai di lokasi strategik untuk disewakan kepada usahawan Bumiputera. Bagaimanapun, keutamaan diberikan kepada usahawan di bawah skim PUNB.

Katanya, untuk tujuan itu, PUNB bercadang melabur kira-kira RM45 juta untuk membeli lot perniagaan berpotensi di seluruh negara sebagai tambahan kepada 60 unit premis perniagaan yang dimiliki PUNB ketika ini.

"Kami akui terdapat ramai usahawan yang mahu menyewa lot perniagaan tetapi sukar untuk mendapatkan lokasi strategik ataupun berdepan dengan harga sewaan yang terlalu tinggi.

"Menerusi sewaan premis perniagaan ini, kami menawarkan kadar diskaun sebanyak 20 peratus untuk tempoh tiga tahun pertama mereka beroperasi, dan sekiranya mereka berdaya maju kami akan mempertimbangkan untuk menjual premis berkenaan kepada mereka," katanya.

Antara unit hartanah PUNB untuk disewakan termasuk di Reko Sentral, Kajang; Kuantan Avenue Commercial Centre, Kuantan; Kinrara Straits One, Bandar Kinrara, Puchong; Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, Selangor dan Jalan Pelabur A 23/A, Seksyen 23 di Shah Alam.