Khamis, 18/07/2019

Usahawan Bumiputera Sabah Dipelawa Mohon Pembiayaan Hotel Bajet

Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) mempelawa usahawan Bumiputera di Sabah memohon pembiayaan daripada agensi itu bagi membolehkan mereka menceburi atau mengembangkan perniagaan dalam industri pelancongan.
Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Usahawan PUNB, Abdul Jammi Abdul Karim, berkata pembiayaan dalam bentuk pinjaman itu termasuk pembiayaan bagi memulakan perniagaan hotel bajet, operator dan agensi pelancongan serta menaik taraf restoran makanan tempatan.

Beliau berkata, jumlah pembiayaan berbeza mengikut jenis perniagaan.

Menurutnya, bagi memulakan perniagaan hotel bajet, PUNB menyediakan pembiayaan antara RM250,000 dan RM5 juta kepada pemohon yang layak.

“Kami tidak membiayai pembinaan bangunan (untuk hotel bajet), tetapi memberi tumpuan untuk kerja menaik taraf atau pengubahsuaian bangunan sedia ada. “Setakat ini belum ada usahawan dari Sabah yang memohon pembiayaan hotel bajet,” katanya selepas perasmian Seminar Skim Pembiayaan PUNB di Pusat Perdagangan Sabah, Likas, Kota Kinabalu, semalam.

Majlis itu dirasmikan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah, Hashim Paijan.