Rabu, 18/10/2017

Lembaga Pengarah

Tan Sri Haji Mohd Ali Mohd Rustam

chairman
Tan Sri Haji Mohd Ali Mohd Rustam telah dilantik sebagai Pengerusi PUNB berkuatkuasa  pada  1 Ogos 2013.

Beliau merupakan Ketua Menteri Melaka selama tiga penggal iaitu dari tahun 1999- 2013. Dalam karier perkhidmatan awam, Tan Sri Haji Ali pernah menjawat tugas sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan dari 1995-1998 dan Timbalan Menteri Kesihatan dari 1998-1999.

Tan Sri Haji Ali  merupakan figura yang aktif dalam bidang politik dan telah menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO  sejak tahun 1997. Beliau juga  pernah dilantik sebagai Naib Presiden UMNO Malaysia pada tahun 2004 selain dari menjadi Ketua UMNO Bahagian Bukit Katil dan Pengerusi Badan Perhubungan UNMO Negeri Melaka dari tahun 2000-2013.

Beliau merupakan lulusan Ijazah Sarjana Sastera dari Universiti Malaya pada 2013 selain mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dalam bidang pengkhususan Ekonomi Pembangunan dari Universiti Sains Malaysia pada tahun 1984.

Beliau  juga telah mendapat pengiktirafan melalui penganugerahan  Ijazah Doktor Kehormat dari  beberapa buah universiti seperti Universiti Teknikal Kebangsaan Malaysia, Universiti Multimedia (MMU) , Universiti Sultan Kudrat dan Universitas Sultan Syarif Kasim Riau, Indonesia.

Buat masa ini, Tan Sri Haji Ali merupakan Pengerusi Yayasan DMDI Finance House dan Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI).

Tan Sri Dato' Seri (Dr.) Mohd Saleh bin Sulong

mohd saleh
Tan Sri Dato' Seri (Dr.) Mohd Saleh bin Sulong dilantik menjadi Ahli Lembaga Pengarah PUNB pada tahun 1997. Pada tahun yang sama, beliau dilantik menjadi Pengerusi Kumpulan DRB-HICOM Berhad sehingga tahun 2006 dimana sebelum itu, beliau merupakan Pengarah Urusan Kumpulan syarikat tersebut.

Beliau juga ialah ahli kepada beberapa buah organisasi awam dan swasta seperti Lembaga Amanah Yayasan Kebajikan Negara,Yayasan Budiman Universiti Teknologi Mara dan Penasihat kepada Dewan Perniagaan Melayu Malaysia.

Selain penglibatan beliau dalam industri pemotoran selama 29 tahun, beliau juga mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang perniagaan seperti perkhidmatan kewangan, perkhidmatan kemudahan awam, insuran, hartanah dan pembinaan.

Tan Sri adalah ahli Chartered Institute of Management Accountants, United Kingdom.

Tan Sri Dato' Dr. Wan Mohd Zahid bin Mohd Noordin

Mohd Zahid
Tan Sri Dato' Dr. Wan Mohd Zahid bin Mohd Noordin dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah PUNB pada tahun 2000. Beliau yang berpengalaman selama lebih dari 30 tahun dalam bidang pendidikan negara dilantik sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia pada tahun 1993. Pada tahun 1998, Tan Sri dilantik sebagai Penasihat Tugas-tugas Khas kepada Menteri Pendidikan.

Beliau juga merupakan Timbalan Pengerusi International Bank Malaysia Berhad sehingga pergabungan bank-bank.Beliau telah dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Guthrie pada 2006. Tan Sri Dato' Wan Zahid juga menduduki kerusi Lembaga Pengarah sebagai ahli di beberapa buah syarikat seperti Sime Darby Berhad, Permodalan Nasional Berhad, Amanah Saham Nasional Berhad, Yayasan FELCRA Berhad dan Furukawa Sdn Bhd antara lain.

Tuan Haji Mohamed Haniffah bin S.M. Mydin

Mohamed Haniffah
Tuan Haji Mohamed Haniffah bin S.M. Mydin dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah PUNB pada tahun 2008.

Beliau mempunyai pengalaman selama 27 tahun di dalam operasi kredit/sewabeli, rasional/penyusunan semula perniagaan dan juga aktiviti pembuatan dan pemborongan.

Tuan Haji memulakan kerjaya sebagai Penolong Pengurus di Koperasi Usaha Bersatu (KUB) Malaysia Berhad pada 1981. Pada tahun 1983,beliau menyertai JUB Credit & Leasing Sdn Bhd sebagai Pengurus Besar dan mengetuai operasi kredit dan sewa beli sehingga 1985. Pada tahun yang sama, beliau meneruskan kerjaya di Advanced Electronics (M) Sdn Bhd (AESB ) sebagai Pengurus Kanan sebelum dilantik menjadi Pengurus Besar Kumpulan. Antara pencapaian beliau di AESB ialah apabila beliau berjaya mengembalikan keuntungan kumpulan syarikat sebanyak RM8-9 juta berbanding kerugian sebanyak RM4-5 juta.

Beliau juga menduduki kerusi Lembaga Pengarah di beberapa buah syarikat seperti Teck Seng Berhad, Elevale Temasek Sdn Bhd. dan Value Line Sdn Bhd antara lain. Tuan Haji kini ialah Presiden di Grand Consultants (MM2H) Sdn Bhd sejak 2006 dan juga ahli kepada Panel Penasihat MARA semenjak 1992.

Dato’ Jamelah A. Bakar

Datuk Jamelah
Y Bhg Dato’ Jamelah A. Bakar  dilantik sebagai  Ahli Lembaga Pengarah PUNB berkuatkuasa  17 Julai 2014.

Beliau memegang Diploma dalam bidang Kewartawanan dari International Institute of Journalism, Berlin, German dan  Ijazah dalam bidang Pengiklanan dan Penerbitan dari Amerika Syarikat.

Dato’ Jamelah memulakan kerjaya awal sebagai wartawan di Utusan Malaysia pada awal 1970 dan kemudian berkhidmat di Berita Harian pada 1977. Pada 1990, beliau menjadi wakil wartawan Berita Harian di Washington DC untuk membuat liputan mengenai perkembangan  Perang Teluk. Beliau juga merupakan bekas pengarang ‘Utusan Konsumer’ dan Ketua Penerbitan Bahasa Malaysia untuk Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

Dato’ Jamelah  merupakan Ahli Lembaga Pengarah KUB Malaysia Berhad sejak Ogos 2013. Beliau adalah figura yang aktif dalam pertubuhan-pertubuhan bukan Kerajaan seperti Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) dimana beliau merupakan Pengerusi  Biro Wanita & Pembangunan Keluarga dan  menjadi Ahli Majlis Penasihat Kebajikan Kanak-kanak Malaysia. Beliau juga pernah menjadi Penasihat kepada beberapa persatuan usahawan wanita  seperti USAHANITA.

Dato’ Jamelah juga adalah pengasas dan Naib Pengerusi  Women & Asean Economic Community Business Foundation (WAB) yang dianggotai oleh ahli-ahli perniagaan wanita dari negara Asean.

Untuk menghargai jasa dan khidmat cemerlang beliau sebagai seorang sukarelawan di Amerika Syarikat, beliau telah menerima Anugerah Tertinggi dari Gabenor Maryland pada 1991. Malahan, beliau merupakan seorang usahawan automotif yang berjaya dan telah banyak membantu kejayaan  para usahawan dengan menganjurkan seminar-seminar keusahawanan secara sukerela.

Beliau telah dianugerahkan gelaran Dato’ oleh Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama (Dr) Haji Abdul Rahman Bin Haji Abbas pada 2005 dan Jaksa Pendamai (JP) oleh Yang Di-Pertua Negeri Melaka,  TYT Tun  Datuk  Seri Utama Mohd Khalil bin Yaakob pada 2011. 

Datuk Seri Azman Ujang

Datuk Azman Ujang
Datuk Seri Azman Ujang telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah PUNB berkuatkuasa 1 April 2015.

Beliau memulakan karier kewartawanannya pada 1971 di BERNAMA, agensi Berita Nasional Malaysia, sebagai Pemberita Kadet dan mengorak langkah sehingga berjaya menjawat Ketua Pengarang, di Jabatan Editorial pada 2004.

Pada 2006 beliau dilantik sebagai Pengurus Besar/ Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA sebelum bersara pada 2008 . Beliau kemudian dilantik menjadi Penasihat Editorial BERNAMA sehingga 2009.

Pada 2009, Datuk Seri Azman dilantik menjadi Ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk 3 penggal (6 tahun) yang tamat pada Februari 2015.

Pada masa ini, Datuk Seri Azman merupakan Ahli Lembaga Pengarah Berjaya Media Bhd, anak syarikat Kumpulan Berjaya yang menerbitkan akhbar harian ‘The Sun’ sejak 2008. Beliau adalah penulis bagi ruangan mingguan “Off The Cuff” dalam akhbar tersebut yang mengupas tentang isu-isu semasa sejak 2011.

Beliau ialah seorang wartawan veteran yang sering di jemput oleh pertubuhan Kerajaan dan bukan Kerajaan untuk memberi ceramah tentang media dan isu semasa di samping sering muncul di kaca televisyen membincangkan isu-isu yang sama.

Berkuatkuasa pada Februari 2016, beliau telah dilantik sebagai Pengerusi di BERNAMA. Beliau merupakan orang pertama yang pernah menyandang tiga jawatan tertinggi sebagai Pengerusi, Pengurus Besar dan Ketua Pengarang di agensi berita yang berusia 48 tahun itu.

Puan Afidah Azwa binti Abdul Aziz

Afidah
Puan Afidah Azwa binti Abdul Aziz dilantik Ahli Lembaga Pengarah PUNB berkuatkuasa 19 November 2015. Beliau telah berkhidmat sebagai Pengarah silih PUNB sejak 2013.

Puan Afidah menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 1999 dan seterusnya memulakan kerjaya dalam industri perbankan pada 2000. Pada April 2001, beliau menyertai Kementerian Kewangan Malaysia sebagai Penolong Setiausaha di Bahagian Ekonomi dan Antarabangsa. Beliau kemudiannya beralih ke Bahagian Pengurusan Pinjaman, Pasaran Kewangan dan Aktuari pada Mei 2002, setelah menamatkan kursus 6 bulan dalam Diploma Pentadbiran Awam di Institut Tadbiran Awam Negara pada April 2002.


Pada 2009, Puan Afidah menerima Ijazah Sarjana dalam Pembangunan Ekonomi dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan dilantik sebagai Ketua Penolong Setiausaha di Unit Jaminan Kerajaan, Bahagian Pelaburan Strategik, pada tahun yang sama.

Beliau kini memegang jawatan sebagai Ketua Penolong Setiausaha Kanan di Seksyen Penilaian, Bahagian Pelaburan Strategik yang merupakan jawatan yang telah disandangnya sejak 2014.Puan Afidah merupakan Ahli Majlis Eksport Perkhidmatan Profesional Kebangsaan (NAPSEC) dan beliau juga merupakan Pengarah silih di Perbadanan Teknologi Hijau (Greentech) Malaysia sejak 2013.

Datuk Haji Hasbullah Haji Wa Daud

 hasbullah

YBhg Datuk Haji Hasbullah Haji Wa Daud telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah PUNB berkuatkuasa 7 November 2016. Beliau merupakan Ahli UMNO dan pernah berkhidmat sebagai Bendahari UMNO Bahagian bagi kawasan Baling, Kedah.

Pada masa ini, Datuk Haji Hasbullah menduduki kerusi Lembaga Pengarah Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), sebuah syarikat milik negeri Melaka yang mempromosikan kesatuan dan perpaduan di antara Melayui-Islam dengan bangsa-bangsa lain di dunia. Datuk Haji Hasbullah ialah Pengarah di beberapa organisasi iaitu Kem Permata Resort Alor Gajah, White Resort Camp Sdn Bhd and Kem PLKN Bukit Besar Kulim, Indah Security Services Sdn Bhd.

Beliau juga merupakan Ahli Jawatankuasa Alumni 4B Kedah. Di bidang politik, beliau telah mengusulkan cadangan agar ditingkatkan jumlah bilangan kontraktor kelas F dalam industri pembinaan kepada UMNO Bahagian dan Pusat. Cadangan tersebut diterima dan telah dilaksanakan oleh pihak Kerajaan. Pada 1995, beliau telah menerajui inisiatif untuk menswastakan kawalan keselamatan di sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia. Melalui cadangan tersebut, beberapa buah sekolah di negeri Kedah telah melaksanakan projek perintis ini dengan jayanya. Usaha beliau ini telah menyumbang kepada penswastaan sepenuhnya perkhidmatan kawalan keselamatan di sekolah-sekolah diseluruh Malaysia.