PERBADANAN USAHAWAN NASIONAL BERHAD (PUNB) telah mengenalpasti sebuah koperasi yang mengguna pakai akronim PUNB sebagai sebahagian dari nama syarikatnya untuk mengedar risalah menawarkan pinjaman peribadi berlandaskan Shari’ah sehingga RM150,000 kepada kakitangan kerajaan dan badan berkanun. Koperasi tersebut turut memperakui mendapat kerjasama dengan sebuah bank asing yang ditubuhkan di Malaysia dalam menawarkan perkhidmatan pembiayaan peribadi tersebut. Oleh kerana fokus perniagaan PUNB tertumpu kepada menyediakan bantuan kewangan yang berlandaskan Shari’ah kepada usahawan Bumiputera, pihak kami amat prihatin dengan tindakan ‘passing off’ ini yang menggunakan nama PUNB dan boleh mengakibatkan salah tanggapan dan kekeliruan terhadap fokus perniagaan PUNB terutama di kalangan bakal usahawan PUNB. Sehubungan dengan itu, PUNB menasihatkan orang ramai untuk berhati-hati dengan mana-mana entiti yang menggunakan akronim PUNB untuk menjual pelbagai produk pembiayaan, ataupun mana-mana individu yang kononnya mewakili PUNB untuk membantu usahawan Bumiputera mendapatkan pembiayaan PUNB atau kelulusan pembiayaan dengan mengenakan bayaran yang tertentu. PUNB memandang serius tindakan yang tidak bertanggungjawab ini dan ingin mengingatkan orang ramai untuk berhubung terus dengan PUNB dalam mendapatkan khidmat dan keperluan pembiayaan perniagaan. PUNB ditubuhkan pada 1991 sebagai badan nasional pembangunan usahawan Bumiputera yang menawarkan pembiayaan kewangan dan sokongan korporat kepada komuniti perniagaan Bumiputera. PUNB menawarkan 4 jenis skim pembiayaan iaitu PROSPER Runcit, PROSPER Siswazah, Pemborong PROSPER dan skim Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Mereka yang berminat untuk mengetahui skim pembiayaan PUNB dijemput hadir ke taklimat pembiayaan mingguan di Pejabat PUNB, Tingkat 10, Blok 1B, Plaza Sentral, Kuala Lumpur setiap Isnin, jam 10.00pagi. Masuk adalah percuma. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi PUNB di 03-2785 1515 atau talian Infoline di 03-2785 1477/1577. Atau layari laman web PUNB di www.punb.com.my. |