Celcom (M) Berhad mengadakan kerjasama dengan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi memberi peluang kepada penuntut tahun akhir universiti berkenaan menjadi usahawan telekomunikasi bersama Celcom. Menerusi program itu, penuntut ditempatkan di cawangan pengedar utama Celcom di Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Perlis dan diberi pendedahan mengenai cara pengendalian kedai telekomunikasi Celcom sebagai persediaan membuka perniagaan sendiri dengan modal yang disuntik PUNB. Naib Presiden Celcom Wilayah Utara, Saiful Bahrin Abd Ghaffar, berkata sebagai permulaan 33 penuntut tahun akhir Kursus Keusahawanan UUM dipilih mengikuti program selama enam bulan yang julung kali diadakan. “Sepanjang tempoh itu mereka akan diberi pendedahan dari segi kepemimpinan, pemasaran, ketahanan diri dan perancangan operasi bagi menguruskan perniagaan. “Mereka bukan dilatih untuk menjadi pekerja, tetapi sebagai majikan dan berkemampuan mencari pekerja,” katanya. Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Kursus Keusahawanan UUM-PUNB-Celcom di UUM, Sintok, Kedah, semalam. Hadir sama, Naib Presiden Komunikasi Korporat Celcom, Datuk Najmuddin Abdullah; Dekan Fakulti Perniagaan dan Keusahawanan UUM, Prof Madya Dr Kamil Md Idris dan Pengurus Besar Bahagian Pelaburan PUNB, Dzulkifli Fadzilah. “Ini projek perintis dan mulai tahun depan Celcom bersama PUNB akan mengembangkannya ke universiti lain di seluruh negara,” katanya. Beliau berkata, sepanjang tempoh itu penuntut diberi elaun RM500 sebulan oleh PUNB selain komisen yang bergantung kepada tempat mereka mengadakan latihan. “Ini peluang keemasan kepada penuntut yang mahu bergelar usahawan. Peluang menyertainya tidak seharusnya dilepaskan kerana impian untuk menjadi usahawan telekomunikasi yang berjaya terbuka luas,” katanya. Sebarang maklumat mengenai program ini hubungi PUNB di talian 03-27851477 atau 03-27851515 atau layari laman web www.punb.com.my. |