Laman Utama Soalan Lazim

Apakah sebab-sebab sesebuah permohonan pembiayaan itu ditolak?

Di antara sebabnya ialah permohonan tidak memenuhi kriteria utama pembiayaan dan rancangan perniagaan yang dikemukakan tidak berdaya maju.

Saya ingin membeli sebuah stor/gudang penyimpanan barang perniagaan. Bolehkah saya memohon pembiayaan daripada PUNB?

PUNB tidak memberi pembiayaan kepada sektor/industri infrastruktur (logistik) untuk tujuan membina gudang dan membeli pengangkutan. Walau bagaimanapun, PUNB menyediakan pembiayaan kepada usahawan yang ingin melakukan pengubahsuaian atau penempatan semula untuk premis perniagaan mereka.

Apakah ciri-ciri perniagaan yang memerlukan cagaran untuk mendapatkan pembiayaan?

PUNB tidak mengenakan cagaran tambahan bagi kebanyakan pembiayaan dibawah RM2 juta. Namun, PUNB boleh mengenakan syarat cagaran tambahan jika pembiayaan tersebut mempunyai risiko yang tinggi berdasarkan Skor Kredit (Credit Score) yang dijalankan.

Apakah jenis-jenis cagaran yang diberi keutamaan?

  1. Tunai/Deposit (Cash Upfront/Deposit)
  2. Tabungan (Sinking Fund)
  3. Aset – hartanah (bebas daripada tuntutan daripada mana-mana pihak)

Kadar keuntungan yang dikenakan oleh PUNB adalah di antara 5-8%. Bagaimanakah PUNB tentukan kadar keuntungan ini?

Kadar keuntungan ditentukan berdasarkan kepada jenis permohonan pembiayaan yang dipohon sama ada untuk pembelian aset ataupun modal pusingan.

Bagaimanakah kaedah pembayaran pembiayaan?

Bagi memudahkan pembayaran, PUNB menyediakan beberapa cara seperti perbankan atas talian, melalui cek dan JomPAY.

Saya seorang doktor dan berhasrat untuk membuka klinik sendiri. Adakah PUNB boleh menawarkan pembiayaan kepada saya?

Ya, PUNB ada menawarkan pembiayaan kepada para profesional seperti doktor, arkitek, jurutera dan lain-lain profesional. Mereka perlu menjadi ahli berdaftar dengan badan profesional yang diiktiraf oleh Kerajaan. Selain itu, latar belakang pemohon seperti tempoh perkhidmatan dalam profesion tersebut, pendedahan dan pengalaman dalam bidang perniagaan yang dipilih adalah antara syarat-syarat yang akan disemak oleh PUNB.

Saya ingin membuat permohonan pembiayaan kedua dan mempunyai cagaran pada pembiayaan yang pertama. Adakah saya perlu memberi cagaran lain bagi pembiayaan kedua?

Tidak perlu cagaran tambahan jika nilai cagaran untuk pembiayaan pertama mencukupi untuk menampung nilai cagaran yang diperlukan untuk pembiayaan kedua dan baki pembiayaan pertama digabungkan.

Apakah jenis perniagaan dalam sektor kewangan yang layak memohon pembiayaan perniagaan PUNB?

Dalam sektor kewangan, PUNB hanya mempertimbangkan pembiayaan bagi perniagaan untuk perkhidmatan pertukaran/pengurupan mata wang asing sahaja.

Berapakah jumlah keuntungan minimum setahun untuk melayakkan sesebuah perniagaan mendapat pembiayaan PUNB?

Sesuatu perniagaan itu perlu beroperasi tidak kurang daripada 18 bulan dan mencatat jumlah jualan minimum sebanyak RM300 ribu dan ke atas setahun untuk layak memohon pembiayaan PUNB.

Saya menjalankan ternakan kambing. Bolehkah saya memohon pembiayaan PUNB?

PUNB tidak memberi pembiayaan kepada sektor perladangan & penternakan. Begitu juga sektor huluan pertanian untuk makanan.

Apakah ciri-ciri bidang perniagaan yang menjadi keutamaan PUNB?

PUNB mengutamakan perniagaan yang berinovasi tinggi dengan integrasi nilai hiliran dan huluan yang tinggi, mesra pelanggan, beradaptasi teknologi dan mudah berkembang (scalable).

Adakah tempoh pembiayaan sehingga 10 tahun itu tertakluk kepada semua jenis perniagaan yang layak?

Tempoh pembiayaan maksima adalah 10 tahun tetapi ia tertakluk kepada kelulusan akhir yang bergantung kepada jenis-jenis perniagaan, nilai jualan dan kadar keuntungan syarikat.

Saya ingin mengembangkan perniagaan ke peringkat serantau. Bagaimana PUNB boleh membantu saya dari segi penyelidikan untuk pasaran luar?

PUNB sedang bekerjasama dengan beberapa agensi Kerajaan yang terlibat dalam membantu usahawan mengembangkan perniagaan ke luar negara. PUNB turut menyediakan pembiayaan bagi penyelidikan pasaran baharu dan luar negara melalui kolaborasi dengan agensi-agensi tersebut.

Jika saya berminat untuk mendapatkan pembiayaan PUNB, apakah yang perlu saya lakukan?

Anda perlu menyedia dan menghantar rancangan perniagaan yang lengkap bersama dokumen-dokumen sokongan yang perlu semasa memohon. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Khidmat Pelanggan di 1 300 13 7862 atau hadiri taklimat mingguan di Ibu Pejabat PUNB, Pejabat-pejabat Wilayah dan cawangan kami.

Berapakah jumlah maksimum yang ditawarkan oleh PUNB?

Had pendedahan tunggal bagi setiap syarikat atau kelompok syarikat-syarikat yang dikuasai oleh usahawan yang sama adalah sehingga RM10 juta.

Apakah skop pembiayaan yang ditawarkan oleh PUNB?

Skop pembiayaan yang ditawarkan oleh PUNB merangkumi:

  1. Modal kerja
    Ubah suai premis perniagaan
  2. Pembelian peralatan/mesin
  3. Pendaftaran produk/paten/hak cipta
  4. Penyelidikan pasaran baharu dan luar negara
  5. Penambahbaikan produk/proses
  6. Pensijilan domestik/antarabangsa(produk/syarikat/kakitangan)
  7. Pemasaran & promosi

Saya difahamkan bahawa selain dari bantuan pembiayaan, syarikat juga mendapat bantuan nilai tambah. Adakah ini termasuk dalam pakej tersebut?

Ya, selain daripada bantuan pembiayaan, syarikat juga akan mendapat khidmat sokongan perniagaan merangkumi pemantauan & khidmat runding, pembangunan usahawan & latihan, pembangunan dan jaringan perniagaan bagi membantu perniagaan untuk berkembang.

Apakah kelebihan-kelebihan lain tentang pembiayaan PUNB?

Pembiayaan PUNB adalah patuh Shari'ah dengan proses penilaian yang telus dan mendapat rebat setem duti ke atas dokumen pembiayaan.

Syarikat saya telah beroperasi selama setahun. Adakah saya layak untuk memohon pembiayaan PUNB?

Bagi syarikat/perniagaan yang ingin memohon pembiayaan PUNB perlu beroperasi minimum 18 bulan dan mempunyai rekod perniagaan/kewangan yang baik dan dikemas kini.

Apakah sektor perniagaan yang diberi keutamaan bagi memohon pembiayaan PUNB?

PUNB memberi keutamaan kepada sektor perniagaan berikut:

  1. Perniagaan dalam sektor peruncitan
  2. Perkhidmatan (seperti perkhidmatan profesional)
  3. Pengedaran
  4. Pembuatan
  5. Kejuruteraan
  6. Hospitaliti Kreatif

Apakah sektor perniagaan yang tidak dibiayai oleh PUNB?

Sektor perniagaan yang tidak dibiayai oleh PUNB seperti berikut:
Perniagaan yang bercanggah dengan prinsip Shari'ah
Perladangan & penternakan
Infrastruktur (logistik)
Pembinaan Gudang
Pengangkutan
Perkhidmatan Kewangan (kecuali perniagaan pertukaran/pengurupan mata wang asing)
Pembangunan hartanah
Kontraktor binaan sivil

Berapakah had umur bagi pemohon pembiayaan PUNB?

Had umur minimum ialah 18 tahun dan maksimum 55 tahun. Walau bagaimanapun, jika pemohon berumur lebih dari 55 tahun, pemohon perlu mempunyai seorang pengarah atau rakan kongsi perniagaan bagi meneruskan kesinambungan sekiranya berlaku sesuatu kepada pemilik utama.

Berapakah tempoh masa proses penilaian sehingga ke tahap kelulusan dan pengeluaran dana pembiayaan?

Ia tertakluk sama ada dokumen yang diterima adalah lengkap dan rancangan perniagaan yang diusulkan adalah berdaya maju.
Bagi pembiayaan tidak melebihi RM1 juta, tempoh masa dari proses penilaian sehingga kelulusan adalah 30 hari manakala pembiayaan yang melebihi RM1 juta akan mengambil tempoh masa sehingga 60 hari. Pengeluaran dana pembiayaan pula tertakluk kepada berikut:
Menepati kesemua Syarat Pengeluaran Dana
Mendapat kebenaran dari institusi kewangan untuk membenarkan syarikat mencagar aset dalam bentuk aset tetap dan/atau terapung pada masa sekarang atau hadapan (debentur) atau cagaran spesifik (jika perlu)

Adakah perlu saya membayar yuran pemprosesan apabila permohonan diproses?

Ya, anda perlu membayar yuran pemprosesan minimum RM50 dan maksimum RM1,000 setelah permohonan diluluskan. Jumlah yuran bergantung kepada jumlah pembiayaan yang diluluskan.

Adakah yuran pemprosesan ini akan ditolak daripada pembiayaan yang telah diluluskan?

Tidak, yuran pemprosesan ini harus dibayar terlebih dahulu semasa penerimaan Surat Tawaran Perniagaan.

Adakah PUNB menyediakan kursus bagi penyediaan Rancangan Perniagaan?

PUNB mengadakan bengkel rancangan perniagaan bagi mereka yang berminat dengan yuran penyertaan sebanyak RM100. Kursus ini tidak wajib dan bukan pra-syarat untuk mendapatkan kelulusan pembiayaan.

Saya masih bekerja dan mempunyai perniagaan sendiri. Adakah saya layak untuk memohon pembiayaan PUNB?

Ya, anda boleh memohon. Tetapi perniagaan anda perlu beroperasi sekurang-kurangnya (minimum) 18 bulan atau lebih dan anda perlu mengusahakan perniagaan tersebut sepenuh masa.

Perniagaan saya dijalankan bersama seorang rakan kongsi bukan Bumiputera. Adakah saya layak untuk memohon?

Anda layak memohon dengan syarat perniagaan tersebut dikuasai oleh Bumiputera di peringkat pegangan saham dan operasi.

Saya mempunyai perniagaan di luar negara. Bolehkah saya memohon pembiayaan dari PUNB?

Anda boleh memohon pembiayaan bagi perniagaan yang dijalankan di luar negara dengan syarat perniagaan mempunyai ibu pejabat di Malaysia dan dikuasai oleh Bumiputera.

Bagaimana caranya untuk saya ketahui status permohonan pembiayaan perniagaan?

Anda boleh terus menghubungi PUNB selepas tempoh minimum 14 hari bekerja dari tarikh penyerahan rancangan perniagaan untuk mengetahui status permohonan anda.

Saya dimaklumkan PUNB turut menawarkan khidmat sewa premis kepada usahawan. Apakah yang perlu saya lakukan sekiranya berminat untuk menyewa dengan PUNB?

Sewaan premis terhad kepada unit-unit premis yang dimiliki oleh PUNB sahaja. Jika anda berminat dan ingin mengetahui maklumat lanjut tentang unit-unit yang masih kosong, sila semak di laman sesawang PUNB atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan di 1300 13 7862.

Apa yang perlu saya lakukan semasa dalam tempoh pembiayaan?

Bagi bantuan perniagaan yang lebih efektif daripada PUNB, anda perlu memastikan syarat-syarat pembiayaan seperti di dalam surat cara perjanjian pembiayaan dipatuhi dan memberi kerjasama dengan pegawai pemantauan yang menjalankan tugas dari semasa ke semasa.

Sekiranya saya telah menerima pinjaman dari institusi kewangan lain, adakah saya layak untuk memohon pembiayaan PUNB?

Anda layak untuk memohon daripada PUNB dengan syarat permohonan tersebut tidak bertindih atau digunakan untuk membayar balik pembiayaan sedia ada dengan institusi kewangan lain.

Adakah pembiayaan saya dilindungi oleh perlindungan Takaful?

Pembiayaan anda akan dilindungi oleh perlindungan Takaful yang ditawarkan oleh panel institusi pembiayaan Takaful PUNB meliputi perlindungan diri usahawan secara individu dan aset-aset perniagaan.

Permohonan pembiayaan saya telah diluluskan oleh PUNB, tetapi saya terpaksa menangguhkan penggunaan dana tersebut atas sebab-sebab tertentu. Bolehkah PUNB melanjutkan tempoh sah pembiayaan seperti dinyatakan dalam surat tawaran?

Permohonan untuk penangguhan boleh dipertimbangkan sekiranya alasan yang diberikan adalah munasabah dan tidak menjejaskan rancangan perniagaan anda.

Bolehkah saya melantik peguam sendiri untuk menyediakan dokumentasi yang diperlukan untuk perjanjian pembiayaan?

Tidak boleh. Hanya panel guaman PUNB sahaja dibenarkan untuk menyediakan semua dokumentasi berkaitan dengan perjanjian pembiayaan.