Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) akan memperuntukkan RM125 juta tahun depan untuk empat skim pembiayaan yang diuruskannya. Ketua Eksekutifnya, Datuk Mohd Nasir Ahmad, berkata daripada jumlah itu, RM50 juta dirancang disalurkan kepada Projek Usahawan Bumiputera Dalam Bidang Peruncitan (PROSPER ), RM30 juta skim Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), RM40 juta skim pemborongan dan RM5 juta di bawah skim PROSPE Siswazah. “Kami sudah mengemukakan permohonan kepada kerajaan untuk mendapatkan peruntukan itu. Ia tidak banyak berbeza daripada peruntukan sebelum ini. “Setiap tahun kami menyasarkan untuk membangunkan 250 pengusaha Bumiputera dalam pelbagai bidang berkaitan perniagaan dan peruncitan, dan dijangka bilangan itu dapat dicapai tahun ini. “Dalam tempoh Januari hingga akhir September lalu, 191 permohonan perniagaan sudah diluluskan dan kami yakin hingga akhir tahun ini, sasaran 250 permohonan itu dapat dicapai,” katanya baru-baru ini. Sejak PROSPER diperkenalkan pada Ogos 2000, PUNB telah meluluskan permohonan pembiayaan 822 perniagaan dan daripada jumlah itu 550 sudah beroperasi. Antara perniagaan itu termasuk pengendalian pasar mini, bengkel automotif, kedai makan, klinik pesakit luar, klinik gigi dan mata serta firma akauntan dan arkitek. Dari segi pendedahan pembiayaan PUNB, Datuk Mohd Nasir berkata beliau yakin ia semakin meningkat dan ini ditunjukkan menerusi bilangan permohonan yang diterima sepanjang tahun ini iaitu sebanyak 761, lebih tinggi daripada sasaran 750 permohonan untuk sepanjang tahun ini. Mengenai PROSPER, beliau berkata PUNB tahun ini dijangka meningkatkan pembiayaannya kepada sektor pemborongan. PROSPER menawarkan dua bentuk pembiayaan iaitu Musyarakah Mutanaqisah dan Qadr Al-Hassan. Musyarakah Mutanaqisah adalah pembiayaan dengan pulangan berjadual untuk pembiayaan minimum RM150,000 bagi setiap perniagaan, manakala Qadr Al-Hassan pula adalah skim pembiayaan tanpa cagaran. Pembiayaan Qadr Al-Hassan hanya memerlukan peminjam membayar balik pinjaman pokok tanpa dikenakan faedah dengan pembiayaan maksimum RM200,000 yang perlu dibayar dalam tempoh maksimum tujuh tahun. Untuk pembiayaan dalam pemborongan runcit PROSPER pula, peniaga boleh membuat pinjaman lebih daripada RM1 juta. |