| Peruntukan RM25 juta Bukan Pembiayaan Tunai (Sinar Harian-Bisnes, 20 Mac 2008) |
|
|
|
|
“Peruntukan awal RM25 juta itu bukan diberikan kepada mana-mana usahawan dalam bentuk pembiayaan secara tunai sebagai kemudahan pinjaman kewangan. “Sebaliknya, ia adalah rancangan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) untuk mendapatkan rumah kedai yang akan disewakan kepada mereka yang menyertai Skim Prosper Runcit.” Demikian menurut Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Datuk Mohd Nasir Ahmad kepada Sinar Harian ketika ditemui berhubung kekeliruan orang ramai terutama usahawan Bumiputera mengenai bantuan melalui peruntukan tersebut. Objektif peruntukan itu adalah supaya usahawan Prosper runcit mendapat kadar sewaan bagi premis perniagaan yang lebih rendah daripada nilai pasaran. Ia juga bertujuan untuk menambahkan penguasaan terhadap pemilikan premis secara kekal di bandar-bandar atau lokasi yang strategik. Pada masa ini, hampir 90 peratus daripada usahawan Prosper runcit hanya bergantung kepada kadar sewa yang tidak menentu serta tiada jaminan terhadap pemilikan premis. Jelasnya lagi, PUNB telah mempunyai skim dengan kerjasama syarikat pemaju, TTPT Sdn. Bhd yang berperanan untuk membeli kedai-kedai dan menyewakan semula. Bagaimanapun, peruntukan RM25 juta itu merupakan tambahan kepada skim tersebut yang lebih cenderung kepada pembelian kedai-kedai yang sudah siap. “Dengan peruntukan awal ini, kami mencari kedai-kedai yang masih dalam pembinaan menerusi perbincangan bersama beberapa syarikat pemaju. “PUNB akan membuat penilaian terlebih dahulu berdasarkan rekod mereka dalam bidang hartanah sebelum melakukan tempahan awal,” katanya. Penilaian itu termasuk rancangan jangka panjang bagi menempatkan usahawan di kawasan yang disifatkan strategik dan berpotensi untuk dimajukan. Sebagai langkah persediaan, tumpuan hanya diberikan kepada kawasan pembinaan di sekitar dan berhampiran dengan bandar yang boleh dibangunkan dalam jangka pendek. Walaupun usaha itu bakal berhadapan dengan saingan, tetapi ia sebenarnya menjadikan usahawan lebih berdaya saing dan terus berusaha lebih gigih untuk maju dalam perniagaan. Sehingga kini, peruntukan masih belum dikeluarkan dan PUNB giat menyusun rangka kerja termasuk cadangan kepada Kememterian Kewangan seperti jualan kepada usahawan sebagai pemilikan penuh. “Pada peringkat permulaan, kerajaan telah meluluskan RM6 juta daripada RM25 juta dan bakinya akan dilaksanakan pada tahun 2009 dan 2010. |






